[VIDEO] Masjid An-Nur lancar kutipan dana RM7.9 juta bina masjid baharu

0
675

PENGURUSAN Masjid An-Nur, Saujana Utama melancarkan kutipan dana RM7.9 juta untuk membina ‘muka’ baharu masjid seiring pertambahan penduduk di kawasan perumahan itu.

Nazir masjid, Hamzah Mohd Amin berkata, pembinaan masjid baharu itu juga perlu berikutan mendapan tanah di struktur utama masjid.

Katanya, masjid pertama yang dibina di kawasan perumahan itu pada 2003 kini semakin uzur dan memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi.

“Satu jawatankuasa dilantik bagi menilai kerosakan dan mendapati adalah lebih efektif dari segi kos untuk naik taraf masjid bagi jangka panjang.

“Ini kerana struktur utama masjid sudah mengalami mendapan tanah, selain masalah pendawaian dan kebocoran pada bumbung,” katanya di majlis pelancaran dana pembinaan baharu masjid di Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, pada Sabtu.

Dalam pada itu, satu Forum Perdana diadakan serentak dengan pelancaran dana dengan ahli panel terdiri daripada Pendakwah dan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL), Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa dan Pengasas Darul Fawwaz (Pusat Pengajian al-Quran & Fardu Ain), Ustazah Muzayyanah Abdullah.

Forum yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live itu dikendalikan oleh Juara Akademi Al-Quran Musim 3, Ustaz Fakhrul Radhi UNIC.

Hadir sama, Nazir Masjid An-Nur, Hamzah Mohd Amin; Imam masjid, Mohd Isyamfuan Rojalai dan arkitek Ikatan Cipta Bina Sdn Bhd, Hishamuddin Abu Hassan dan Pengarah Program, Wan Jailani Razak.

Fakhrul pula berkata, membelanjakan harta pada jalan Allah sangat dituntut dalam agama Islam kerana ia dijanjikan ganjaran pahala yang besar.

“Melakukan infak dalam Ramadan lebih digalakkan, sebab segala rezeki yang kita bagi infak, Allah akan ganti.

“Ia juga jadi satu saham berpanjangan. Kita jika ada perniagaan, kita mesti mahu perniagaan berjalan berpanjangan, saham yang berjalan. Maknanya saham ini saham yang tidak akan putus,” katanya ketika ditemui SatuBerita.

Beliau berkata, selagi mana ada masjid, selagi itulah ada perkara yang boleh diinfak, seterusnya menyebabkan amalan baik bertambah.

Justeru, beliau mengajak seluruh umat Islam, terutama penduduk Saujana Utama untuk bersama menyokong usaha pembinaan wajah baharu Masjid An-Nur.

“Kita yakin, ini adalah satu usaha amal, kerja infak yang sangat dituntut. Kita kena sama-sama usaha. Peluang ini tidak selalu datang. Kalau kita infak biasa lain, ini infak untuk pembinaan baharu, bangunkan batu-bata dan ia akan berterusan, bantulah mana yang mampu,” katanya.

Orang ramai boleh membantu dengan menyalurkan sumbangan ke akaun bank Islam 140 140 10111 399 atas nama Masjid An-Nur. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here