MELIHATKAN satu persatu rakan-rakan industri membuat gimik murahan demi untuk melakukan drama masing-masing ternyata memberikan reaksi berbeza buat pelakon yang satu ini.
Kecewa dengan apa yang berlaku, kata Syafie Naswip gimik dan marketing yang dibuat bagaikan sudah menjadi kebiasaan yang tidak sepatutnya berlaku.
“Zaman sekarang nak lakukan (popularkan) drama kena buat pergaduhan di set (penggambaran), kena buat live menangis-nangis macam psiko.
“Lepas itu apabila dikecam kata salah netizen dan jawapan tidak apa, aku dapat pahala percuma,” luah Syafie berterus terang.
Apa yang membuatkan dia terkesan apabila ada pelakon yang sudah mempunyai nama besar pun sanggup melakukan gimik sedemikian demi menaikan publisiti drama.
Dia sendiri keliru mengapa ada pihak sanggup berbuat demikian sedangkan mereka sudah mempunyai pengikut tersendiri.
“Lebih menyakitkan orang yang buat ini (gimik), adalah orang-orang yang sangat berbakat. Kenapalah? Tidak boleh hadam,” kata Syafie mempersoalkan tindakan mereka.
Dalam pada itu, dia sendiri tidak menolak ini merupakan perkara yang perlu dilakukan untuk memasarkan produk masing-masing.
Namun tegasnya, biarlah perkara itu menggunakan cara yang lebih baik dan murni berbanding dengan gimik murahan.
“Boleh sahaja nak buat marketing cara yang lebih sihat dan bermaruah sedikit. Cukuplah berlakon di set sahaja,” kata Syafie.
Tidak mendedahkan siapa yang dimaksudkan, ia merujuk kepada kisah Mona Allen yang berang dengan tindakan Iqram Dinzly yang mencekik lehernya baru-baru ini.
Iqram dikatakan mencekik berkali-kali Mona dengan kuat dan dia menyifatkan tindakan lelaki itu sebagai psiko sehingga mendapat liputan meluas berita.
Namun baru-baru ini mereka mendedahkan perkara berkenaan adalah gimik semata-mata untuk mempromosikan drama tersebut. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.