Azwan Ali kena singkir sebagai pengacara Mic On!

NAMA pengacara Azwan Ali tiba-tiba sahaja panas apabila disingkirkan daripada mengacara program realiti Mic On! berkuat kuasa serta merta.

Pihak pengurusan Awesome TV dalam satu kenyataan memberitahu yang rancangan tersebut akan dikendalikan pengacara Issey Fazlisyam sahaja.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor utama demi memastikan keharmonian penerbitan keseluruhan program Mic On! untuk musim ini dapat diteruskan dengan lancar bagi menghormati semua pihak yang terlibat. 

“Perlu ditegaskan di sini bahawa pihak Awesome TV tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang hal-hal berkaitan dengan disiplin dan standard etika kerja bagi mana-mana pihak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas.

Pun begitu, Adam tidak memperincikan apakah sebenarnya yang berlaku kepada Azwan sehingga dia disingkirkan.

Jelasnya, dia tidak akan sesekali berkompromi apabila melibatkan etika kerja sama ada di kalangan tenaga produksi sendiri mahupun bakat yang terlibat dengan program terbitan Awesome TV.

“Pihak kami juga tidak akan bertolak-ansur dengan sebarang bentuk salah laku atau gangguan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian. 

“Tindakan keras akan diambil sekiranya berlaku sebarang pelanggaran integriti prinsip tersebut,” tambahnya lagi.

Sebagai info, Mic On! bersiaran pada setiap hari Jumaat jam 9.00 malam di saluran Awesome TV (Astro 123) atau MyTV (112) merupakan sebuah program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian komedi.

15 peserta terlibat dibahagikan kepada tiga kumpulan yang diterajui oleh Fad Bocey, Ropie dan Ajak Shiro yang menggalas tanggungjawab selaku ‘Manager’ untuk memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada para peserta.

Manakala Datuk Awie, Datuk Hattan dan Mas Idayu bertindak selaku juri tetap.