Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PN dakwa bahan kempen dirosakkan -

PN dakwa bahan kempen dirosakkan

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PERIKATAN Nasional (PN) mendakwa bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk bendera, poster dan kain rentang mereka dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Seorang jentera parti PN, Sungip Awee, 68, dari Kampung Tanjung Langsat, Pasir Gudang mendakwa, lebih 20 bendera termasuk poster dan kain rentang dirosakkan dipercayai pada sebelah malam.

“Kejadian seperti ini sudah beberapa kali berlaku. Bendera dan bahan kempen di kampung ini dirosakkan dan kami boleh meneka pihak mana yang melakukannya tetapi tidak mahu buat sebarang tuduhan.

“Kita harap dapat berkempen secara sihat pada PRN Johor,” katanya kepada pemberita semasa mengiringi calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Dr Karim Deraman berkempen di kampung itu, pada Selasa.

Sungip berharap, apabila PN menang PRN tersebut, masalah di kampung itu dapat diselesaikan termasuk masalah jalan ke tiga atau empat buah rumah yang masih tidak berturap hanya kerana berlainan fahaman politik.

Sementara itu, seorang lagi jentera PN di kampung itu, Mohd Hisham Md Jalani, 38, berharap masalah pencemaran di kawasan berkenaan dapat diatasi kerana sudah berlarutan terlalu lama.

Dia mendakwa, pencemaran sering berlaku di kampung berkenaan yang berdekatan dengan Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat hinggakan kawasan pasir di Jeti Kampung Tanjung Langsat kini berwarna hitam.

“Semuanya berpunca dari masalah sampah yang dibawa dari Sungai Tiga dan masuk ke kawasan laut. Begitu juga sebuah kilang gula berdekatan menyebabkan pencemaran hingga air laut kotor,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di kampung itu dan kawasan berdekatan mendapati, bukan sahaja bahan kempen PN dirosakkan tetapi juga bendera dan kain rentang Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). – SB