Pelakon Pasha terkorban ketika mempertahankan Ukraine

Hidup menghiburkan peminat dan mati mempertahankan tanah air. Itu juga yang berlaku kepada seorang artis dan selebriti popular Ukraine yang disahkan terbunuh dalam peperangan menentang Rusia.

Pasha Lee, 33, cukup popular di negara berkenaan. Sejak negaranya diceroboh tentera Rusia, dia terus mendaftarkan diri dalam pasukan Tentera Darat Ukraine, berjuang untuk tanah air.

Kematian Pasha diumumkan melalui Facebook Ketua Persatuan Wartawan Nasional Ukraine, Serhiy Tomilenko pada Ahad lalu.

“Sejak hari pertama perang, dia sudah berjuang untuk negara dan meninggal dunia di Irpin di mana pertempuran sengit sedang berlaku,” umumnya kepada semua.

Menjadi antara artis paling bersemangat waja mempertahankan negara, Pasha sebenarnya ada memuat naik foto ketika berada di medan perang.

Dengan mengenakan jaket askar, dia sempat bercerita tentang keadaan yang sedang dilalui selama berada di situ.

“Setelah 48 jam berlalu, baru ada kesempatan untuk duduk dan bergambar tentang bagaimana kami dibom.

“Kami masih boleh tersenyum kerana berjaya mengatasinya untuk Ukraine. Kami sedang berusaha,” tulisnya dalam posting terakhir sebelum meninggal dunia.

Sepanjang bergelar artis, dia sudah membintangi sejumlah filem dan drama TV. Suaranya juga sering digunakan sebagai untuk beberapa produk dan siri alih bahasa.

Antara filem yang dibintangi termasuklah The Pit (2006), The Fight Rules (2016) dan Meeting of Classmates (2019).

Salah satu karya terakhirnya adalah drama Provincial yang ditayangkan pada 2021 lalu.