20 ekor kucing mati bergelimpangan di pantai Bukit Keluang, Besut

0
428

SEBANYAK Sebanyak 20 ekor kucing jalanan ditemukan mati bergelimpangan dipercayai akibat diracun di kawasan peranginan Pantai Bukit Keluang di Besut, Terengganu, semalam.

Video penemuan bangkai kucing itu, yang dikongsi oleh kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Badrul Hafeezy Ali, 35, menjadi tular di laman Facebook sejak tengah hari tadi serta mendapat pelbagai reaksi warganet yang meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan perkara tersebut.

Ketika dihubungi Bernama, Badrul Hafeezy berkata beliau amat terkejut apabila ternampak bangkai haiwan itu ketika beriadah di lokasi tersebut.

“Saya dan seorang rakan iaitu Roshanapi Osman, 39, ada di situ pada 9.30 pagi. Semua kucing ini memang kenal dan manja dengan saya sebab saya suka memberi makan apabila ada masa terluang.

“Memang rasa sedih, terkilan dan geram dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup buat begitu… apa salah kucing-kucing jalanan itu. Saya muat naik video itu di Facebook dan ada yang beri cadangan untuk saya maklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar agar siasatan lanjut dapat dijalankan,” katanya.

Beliau kemudian membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja pada 3.30 petang dan berharap pihak yang tidak bertanggungjawab dalam insiden itu akan menerima hukuman setimpal.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Dr Anun Man pula berkata pihaknya telah menerima laporan mengenai perkara itu dan akan menjalankan siasatan lanjut.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here