Penuntut Universiti dakwa kerugian RM42,500 beli mata wang permainan video

0
425

GARA-GARA terlalu teruja bermain permainan video, seorang penuntut universiti awam di sini mendakwa kerugian RM42,500, bagi membeli mata wang permainan video yang diiklankan di laman sosial Instagram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 22 tahun itu, telah menghubungi pemilik akaun Instagram berkenaan pada Jumaat lepas (4 Mac) selepas tertarik dengan harga mata wang itu yang ditawarkan lebih rendah berbanding ‘kedai’ permainan video dalam talian lain.

“Mangsa mendakwa harga yang ditawarkan di laman sosial itu hanya RM600 bagi 38,400 mata wang, menyebabkan dia terus membuat pemindahan wang secara dalam talian pada petang hari yang sama ke akaun diberikan suspek.

“Bagaimanapun, suspek dikatakan telah menghubungi pemuda itu untuk meminta lebih banyak wang atas pelbagai alasan termasuk bagi penukaran mata wang tersebut, sebelum ia boleh dikreditkan ke akaun permainan video mangsa,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata pemuda itu mendakwa telah menggunakan wang simpanan sendiri berjumlah RM1,705, namun masih diminta untuk membuat bayaran bagi mendapatkan akses kepada mata wang itu, menyebabkan dia menggunakan wang simpanan ibunya. 

— LAGI

POLIS-TIPU 2 (AKHIR) KUANTAN

Beliau berkata ibu mangsa yang merupakan pesara kerajaan, dikatakan pernah memberi kata laluan bagi transaksi perbankan dalam talian miliknya kepada anaknya itu untuk urusan transaksi peribadi sebelum ini. 

“Pemuda itu hanya menyedari dirinya ditipu dalam penjualan mata wang permainan video itu setelah membuat 10 pemindahan wang secara dalam talian ke tiga akaun berbeza selama dua hari bermula Jumaat lepas,” katanya.

Sehubungan itu, menurutnya mangsa membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading di sini, semalam dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda jika sabit kesalahan. – BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here