Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Zulkifli Bujang menyifatkan integriti amat penting malah mengangkat martabat seseorang terutama pemimpin.
“Integriti adalah frasa yang mengikat soal kewibawaan seseorang. Integriti yang tinggi sentiasa menjadi ukuran paling penting apabila menyentuh soal kepimpinan.
“Atas tanggungjawab ini, lafaz yang diungkap dan kata yang disebut akan sentiasa dijadikan ingatan paling penting dalam kehidupan,” katanya menerusi kemas keini dalam Facebook miliknya, hari ini.
Menurutnya, beliau bersama-sama semua calon PN mengangkat sumpah akujanji serta menandatangani akuan integriti di sebuah majlis khas, di sebuah hotel di Senai, Kulai, hari ini.
“Tengah hari tadi, disaksikan seluruh rakyat Malaysia, calon-calon parti PN telah melafaz dan menandatangani Ikrar Aku Janji Integriti Calon termasuk juga saya yang menjadi calon Nombor 4 di kerusi N.44 Larkin,” katanya.
Majlis bacaan ikrar dan angkat sumpah itu diketuai Setiausaha PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal bagi membuktikan kesungguhan parti gabungan berkenaan untuk membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti dan bersih.
Akuan sumpah itu adalah kali kedua dilakukan PN, selepas kali pertama ketika PRN Melaka, tahun 2021 dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, pendekatan itu akan dijadikan amalan selepas ini bagi menghadapi mana-mana pilihan raya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.