
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kesemua ahli politik di negara ini memfokuskan kepada usaha untuk menjaga kepentingan rakyat.
Baginda menyelitkan peringatan itu dalam dua rangkap pantun pada akhir titah Seri Paduka semasa merasmikan Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-14 pada Isnin.
“Gunung Kinabalu sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang,
Jikalau semua bersatu hati,
Kerja yang susah menjadi senang.
Busana tradisi kain bersulam,
Warnanya jingga berawan larat,
Cukuplah berpolitik siang dan malam,
Fokuskan menjaga kepentingan rakyat,” titah Seri Paduka.
Bagi menghadapi 2022, Al-Sultan Abdullah menyeru kesemua pihak untuk mengukuhkan strategi dan ketahanan dalam mendepani cabaran Covid-19 dan menyegerakan pemulihan ekonomi negara agar Malaysia tidak ketinggalan.
“Bantu dan mudahkan segala urusan rakyat untuk membina semula kehidupan mereka dengan rasa selamat, aman dan makmur demi negara kita yang tercinta,” titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan kesyukuran apabila lansdkap politik negara kini lebih stabil untuk menjayakan agenda pembangunan demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.
“Beta amat bersyukur dengan kestabilan politik yang dikecapi kini menerusi kerjasama dwipartisan iaitu melalui memorandum persefahaman transformasi dan kestabilan politik yang telah ditandatangani antara pihak kerajaan dan pembangkang,” titah Al-Sultan Abdullah merujuk kepada memorandum yang ditandatangani kedua-dua pihak pada September tahun lepas.
Hasil kesepakatan dan kematangan itu titah baginda, pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 berjaya diluluskan dengan sokongan majoriti melebihi dua pertiga ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Disember tahun lalu.
“Kematangan politik seperti itulah yang didambakan oleh rakyat beta,” titah Al-Sultan Abdullah sambil menyeru semua Ahli Parlimen supaya terus mengekalkan persefahaman yang terbina dan memelihara kestabilan politik yang telah tercapai itu.
Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan atas tindakan pantas kerajaan dalam membantu mangsa banjir pada akhir tahun 2021 menerusi penyaluran bantuan bernila RM 1.4 bilion secara terus kepada mereka yang terkesan serta peruntukan kewangan bagi pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam berjumlah RM 6 bilion.
Dalam pada itu, Seri Paduka bertitah agar perpaduan nasional terus menjadi agenda utama negara bagi mengekalkan dan memelihara kemakrumaran negara.
“Usaha memupuk budaya toleransi dan hormat-menghormati hendak-lah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat beta.
“Justeru, beta menyambut baik Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 yang bersifat komprehensif,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah turut menyeru masyarakat dididik mengenai bahaya aliran pemikiran dan fahaman yang mengelirukan masyarakat Islam dan usaha menormalisasikan budaya yangbercanggah dengan adat dan amalan agama negara ini.
Seri Paduka bertitah, tindakan berfokus dan strategik perlu dijalankan oleh semua pihak berkuasa agama, keselamatan dan pihak-pihak lain yang bertanggungjawab dalam usaha untuk menawal fahaman dan aliran pemikiran tersebut.–SB