[VIDEO] Peluang keemasan bangsa Johor tubuh kerajaan berintegriti – Muhyiddin

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini adalah peluang keemasan kepada rakyat negeri itu untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang bersih, berintegriti, bertanggungjawab dan prihatin rakyat.

Ini kerana calon-calon yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dipilih daripada mereka yang berkelayakan, berkelulusan, berpengalaman, berakhlak dan berhemah tinggi.

Kesemmua mereka kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menjadi seorang wakil rakyat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kesemua 56 calon PN berkeazaman tinggi untuk berkhidmat kepada bangsa Johor dan mereka mampu merencana dan memacu pembangunan Johor menjadi sebuah negeri yang maju.

Tegas Presiden Bersatu itu, mereka juga akan memastikan kemajuan dan kemakmuran tersebut dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat tanpa ada seorang pun yang tertinggal atau terpinggir.

‘’Setiap calon terpilih telah menjalani dan melepasi proses tapisan yang ketat bagi memastikan mereka bersih daripada sebarang salah laku, bebas daripada kes mahkamah seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

‘’Kesemua calon akan menandatangani aku janji dan mengangkat sumpah menolak segala perbuatan rasuah, salah guna kuasa dan berikrar memikul tanggungjawab serta amanah bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih,’’ katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. –SB