[VIDEO] PRN Johor peluang ranapkan angan-angan kluster mahkamah kembali berkuasa

0
377

RAMAI bimbang PRN Johor akan menjadi batu loncatan bagi membolehkan kluster mahkamah UMNO merealisasi angan-angan untuk kembali berkuasa di negara ini.

Tidak dapat dibayangkan betapa malunya kita menjadi rakyat Malaysia jika kluster mahkamah kembali memegang tampuk pemerintahan negara. 

Sudah tentu Malaysia akan dijadikan bahan lawak antarabangsa.

Perbicaraan skandal 1MDB di Amerika Syarikat (AS) membabitkan bekas pegawai Goldman Sachs, Tim Leissner pun sudah cukup memalukan sehingga hal dalam kelambu pun dilondehkan secara terbuka.

Cukup-cukuplah sudah kita menanggung kemaluan yang amat besar akibat penyelewengan yang didakwa dilakukan oleh kluster mahkamah semasa UMNO-BN berkuasa dahulu.

Pada masa ini, pengundi di Johor mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam mengekang kemaraan kluster mahkamah dalam kancah politik negara.

Pengundi Johor perlu menunjukkan keberanian luar biasa dengan menolak UMNO-BN sebagai manifestasi protes mereka terhadap sikap kemaruk kuasa kluster mahkamah.

Satu-satunya pilihan yang terbaik bagi mereka adalah Perikatan Nasional (PN) yang terbukti berupaya mentadbir negara dengan sangat cemerlang ketika negara dilanda krisis pandemik Covid-19.

Jadikan PRN Johor sebagai satu pengajaran yang amat pahit bagi kluster mahkamah UMNO supaya mereka insaf bahawa rakyat sudah benci dan meluat dengan muka mereka yang tidak tahu malu.