Pulih, rancak semula ekonomi Johor janji PN – Muhyiddin

0
260

PERIKATAN Nasional (PN) berjanji akan berusaha memulih dan merancakkan ekonomi serta aktiviti perniagaan di Johor jika diberi mandat kelak.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu penting bagi memastikan kemakmuran ekonomi negeri dapat dinikmati oleh setiap rakyat Johor.

“Saya juga memberi jaminan jika diberi peluang di Johor kerajaan negeri Perikatan Nasional akan berusaha memulih dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan perniagaan di negeri ini bagi memastikan kemakmurannya dapat dinikmati oleh setiap rakyat Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sarapan bersama 23 pengerusi pertubuhan bukan kerajaan dan ketua komuniti Cina Bukit Pasir, di Louis Woo Cafe, Muar pada Jumaat.

Pada majlis itu Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyampaikan bantuan tahunan bernilai RM10,000 setiap satu kepada 23 tokong dan pertubuhan bukan kerajaan di kawasan Bukit Pasir.

Muhyiddin berkata, pada majlis itu beliau bersemuka dan mendengar pandangan serta masalah komuniti tersebut.

Kebanyakannya ujar beliau, mengeluh mengenai kenaikan harga barang pengguna dan bahan mentah untuk perniagaan.

Peningkatan itu tambah beliau, bukan sahaja memberi kesan kepada pelanggan tetapi juga di pihak pengusaha yang menjalankan perniagaan.

Louis Woo, 32, yang membuka kafe tersebut sejak tiga tahun lalu mengeluh mengenai harga barang mentah untuk perniagaan kafe yang naik mendadak sejak akhir-akhir ini.

Keadaan ini kata Louis bukan sahaja tidak baik untuk perniagaan malah membebankan pengguna dan para pelanggannya.

Beliau berharap kerajaan dapat melihat dengan serius situasi ini.

Louis bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Perikatan Nasional kerana memperkenalkan Program Subsidi Upah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban pengusaha kafe kecil sepertinya.

Muhyiddin menambah, beliau kemudiannya menjelaskan usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan Perikatan Nasional dan Majlis Pemulihan Negara bagi memulihkan kehidupan dan ekonomi negara.

“Segala usaha ini bertujuan untuk memastikan rakyat dapat meneruskan kehidupan setelah terkesan teruk dengan pandemik Covid-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here