Tak mahu malukan diri, Farahdhiya suka straight foward sahaja

0
681
FARADHIYA

KALAU lagu sudah berkualiti, tak perlu lagi melakukan apa-apa perkara yang kurang menyenangkan – itu penegasan yang dibuat oleh penyanyi Farahdhiya saat melancarkan lagu Tewas baru-baru ini.

Jelasnya, dia faham dengan keadaan semasa segelintir penyanyi yang perlu melakukan gimik untuk menarik perhatian. Tetapi baginya, semua itu tidak akan dilakukan demi meraih perhatian umum.

“Untuk lagu ini tiada sebarang gimik sebab saya seorang yang ‘simple’ dan ‘straight forward’. Jadi nak keluar lagu kita buat cara biasa sahaja.

“Pada saya jika itu lagu yang bagus, penyanyinya bagus atau produknya baik kalau buat dengan cara yang biasa pun tiada masalah.

“Kadang-kadang kita tengok sendiri orang buat gimik sampai ada yang memalukan diri dan nampak bodoh sehingga dikecam. Saya tak sanggup semata-mata nak buat gimik sebegitu dan saya tidak perlukan itu. Bila nak keluar lagu, kita keluarkan lagu sahaja,” tegasnya.

Percaya kepada soal kualiti, dia yakin mana-mana produk sekalipun tetap akan dinilai berdasarkan perkara berkenaan.

Jika melibatkan lagu, promosi dan publisiti sahaja sudah memadai kerana itu yang akan membawa lagu ini untuk sampai ke telinga pendengar.

“Saya sangat yakin dengan lagu ini. Setiap kali saya keluarkan lagu baharu tak kisah ia meletup ataupun tidak saya selalu ada keyakinan. Sebab bila kita dengar kita tahu lagu itu sedap. Cumanya sesebuah lagi itu jika tidak meletup tidak semestinya ia tidak sedap dan bagus.

“Mungkin ia berpunca dari segi publisiti dan promosi. Seperti saya cakap, saya sangat yakin dengan lagu ini dan ia adalah lagu yang bagus. Saya harap dapat sokongan daripada semua pihak,” katanya.

Menariknya Tewas yang berentak electronic music dance (EDM) merupakan kerjasama pertama dengan rapper dari Korea Selatan, Denis.

Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Pown Hasril, Karim Karam, Otromen, Nass dan DL itu menggunakan tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Korea.

Bercerita mengenai lagu itu, penyanyi yang popular dengan lagu Bertakhta Di Hati ini mengakui jatuh cinta saat pertama kali mendengarkannya.

Menganggap dia perlu mengikut peredaran zaman dan tidak boleh tertumpu pada genre balada sahaja, Farahdhiya yakin dengan percubaan kali ini.

“Pertama kali dapat lagu ini saya terus setuju sebab saya sukakan melodinya yang catchy. Pada saya lagu sebegini cita rasa orang sekarang. Ini memang satu jenama baharu daripada saya dan saya sangat teruja.

“Ditambah pula lagu ini menggunakan tiga bahasa. Saya fikir ini peluang untuk menjayakan lagu ini,” katanya yang kini sibuk dengan bidang lakonan. – SB