Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Skandal 1MDB: 3 Jun dengar permohonan pendakwaan gantung perintah pulang barangan mewah -

Skandal 1MDB: 3 Jun dengar permohonan pendakwaan gantung perintah pulang barangan mewah

MAHKAMAH Tinggi di sini hari ini menetapkan 3 Jun untuk mendengar permohonan pihak pendakwaan bagi menggantung pelaksanaan perintah pemulangan harta yang disita daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; isterinya Datin Seri Rosmah Mansor; anak mereka dan beberapa individu lain.

Pada 8 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan barangan termasuk beg tangan pelbagai jenama, 27 kenderaan dan wang tunai pelbagai mata wang yang disita daripada mereka yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dilucuthak kepada Kerajaan Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin berkata, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Mengenai rayuan pendakwaan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu, Faten Hadni berkata, ia di peringkat pengurusan kes kerana pihak pendakwaan masih menunggu rekod rayuan.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas.

Pendakwaan selaku pemohon memfailkan permohonan penangguhan itu pada 24 November lepas dengan menamakan Najib, Rosmah, Riza Shahriz Abdul Aziz (anak Rosmah), anak mereka Nor Ashman Razak, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Goh Gaik Ewe, Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isteri Lim Hwee Bin sebagai responden pertama hingga kesembilan.

Pada 8 November 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak harta-harta itu kepada kerajaan dan permohonan penangguhan itu dibuat sementara menunggu rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Dalam keputusan sama, Hakim Mohamed Zaini bagaimanapun membenarkan permohonan kerajaan untuk melucut hak aset daripada lapan responden lain kerana mereka tidak membantah permohonan tersebut iaitu Mohd. Kyizzad Mesran, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn. Bhd. dan tiga bekas pegawai 1MDB yang telah melarikan diri, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun.

Jabatan Peguam Negara pada 8 Mei 2019, menfailkan permohonan pelucutan hak terhadap ratusan barangan, termasuk beg tangan pelbagai jenama dan 27 kenderaan yang dirampas daripada Najib, Rosmah, tiga anak mereka termasuk Nooryana Najwa serta 13 individu dan syarikat dikatakan berkaitan 1MDB.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara membenarkan permohonan representasi Nooryana Najwa yang mahu barangan milik beliau antaranya beg tangan dan kasut dikembalikan.

Antara barangan dinyatakan dalam notis itu ialah beg tangan, kasut dan jam tangan pelbagai jenama serta wang tunai dalam pelbagai mata wang yang dirampas polis pada 17 Mei 2018 dan 11 Jun 2018 serta 27 kenderaan Nissan yang dirampas pada 2 Ogos 2018 dan sebidang tanah di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Selain itu, wang berjumlah lebih RM18 juta dalam beberapa akaun bank di Bank Islam Malaysia Bhd, Al-Rajhi Bank Bhd., Malayan Banking Bhd., CIMB Bank Bhd., RHB Bank Bhd., Public Bank Bhd., AmBank Bhd. dan Hong Leong Bank Bhd, dibeku antara 16 Ogos, 2018 dan 11 Mac 2019. – Bernama