Bekas COO syarikat pengurusan sisa pepejal didenda RM200,000 kerana guna dokumen palsu

0
273
AZMI (kiri) didenda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku salah terhadap tiga pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu berkaitan tuntutan kerja kontrak pada 2017 dan 2018. - Foto BERNAMA

SEORANG bekas ketua pegawai operasi (COO) syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam didenda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah atas tiga pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu berkaitan tuntutan kerja kontrak.

Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Azmi Amin Sarji, 53, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara 36 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Bagi pertuduhan pilihan pertama dan kedua Azmi didenda masing-masing RM70,000 atau penjara 12 bulan manakala untuk pertuduhan ketiga dia didenda RM60,000 atau penjara 12 bulan.

Harmi Thamri berkata, hukuman itu adalah selepas mengambil kira kepentingan awam agar memberi iktibar kepada masyarakat.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Azmi yang ketika itu COO Environment Idaman Sdn. Bhd. (E-Idaman) dituduh dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen berhubung bayaran bagi bulan November 2017 berjumlah RM74,489.53 dan Disember 2017 berjumlah RM74,489.53,

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat E-Idaman Kedah dan Perlis, Wisma Idaman, No 163&164, Bandar Stargate, Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini pada 4 Jun 2018.

Dia juga dituduh bersama Mhd Saiful Anuar Zainal, 53, iaitu bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) E-Idaman menggunakan dokumen palsu bagi bayaran Mac 2017 berjumlah RM426,935.14 di lokasi sama pada 8 dan 9 Mei 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Azmi juga mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan masing-masing sebanyak RM181,177 dan RM170,000 yang didakwa dilakukan pada 20 dan 19 Februari 2018, namun mahkamah mempertimbangkan hukuman bagi pertuduhan itu mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sew Ping manakala Azmi diwakili peguam Shamsul Sulaiman. – Bernama