PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan memberi komen berhubung kemungkinan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli kembali menyertai arena politik.
Memetik laporan portal Malaysia Gazette, Anwar bertindak ‘kunci mulut’ ketika diajukan mengenai persoalan berkenaan.
Anwar turut meminta untuk menangguhkan isu berkaitan politik demi menghormati majlis memperingati tokoh agamawan yang juga bekas Presiden Angkatan Islam Malaysia (Abim), Allahyarham Prof. Datuk Dr. Siddiq Fadzil.
“Saya tak minat bincang soal lain (politik) melainkan institusi ini (Siddiq Fadzil) nanti tenggelam isu ini.
“Soalnya hanya untuk Siddiq Fadzil, yang lain saya tangguh esok atau lusa,” katanya.
Terdahulu, Anwar menyampaikan syarahan perdana pada Wacana Pemikiran Siddiq Fadzil dan Pelancaran Institut Pemikiran, Kepimpinan, Kursi serta Pelancaran Buku Karya Siddiq Fadzil.
Beberapa hari lalu, Rafizi yang juga Naib Presiden PKR memberi bayangan mungkin akan kembali dalam arena politik selepas menyepi kira-kira tiga tahun.
Dalam ciapan di Twitter, Rafizi memaklumkan akan melakukan solat istikharah dan melakukan perbincangan dengan beberapa pihak.
“Lama aku fikir nak reply tweet @reformist ni. Kena tanya keluarga, kena bincang dengan shareholders, kena bincang dengan team members di tempat kerja (kucing aku Kristy confirm tak setuju).
“Bila kita ambil jalan politik, niatnya kena betul,” ciap Rafizi.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu bersara daripada arena politik sejurus selepas Mahkamah Tinggi membebaskannya terhadap hukuman penjara 30 bulan membabitkan kes mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) pada 15 November 2019.
Selepas dibebaskan, beliau mengumumkan tidak berminat untuk kembali aktif dalam politik atau menyandang sebarang jawatan penting. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.