KPLB terima 80 peratus senarai infrastruktur terjejas banjir – Mahdzir

0
434

KEMENTERIAN Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) setakat ini menerima 80 peratus senarai rumah, jalan raya dan kemudahan awam di kawasan pedalaman yang terjejas akibat banjir

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata justeru, pegawai daerah perlu segera menyerahkan laporan kerosakan rumah dan infrastruktur mengikut tempoh ditetapkan. 

“Bagi projek-projek yang terkesan banjir di kawasan pedalaman, pelaporannya datang dari pejabat daerah, iaitu pegawai daerah sebagai pengerusi Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) daerah. 

“Dia yang sediakan senarai tersebut dan dihantar ke kementerian. Setakat ini kita ada terima bagi baik pulih dan bina baharu rumah. Sudah boleh buat sebab kita ada bajet sebanyak RM50 juta bagi kerja-kerja tersebut,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pengarah-pengarah Agensi KPLB dan Penyampaian Sumbangan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di Pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Muar, di Johor, hari ini. 

Katanya setakat ini 1,700 rumah telah dibaik pulih dan dibina baharu di bawah peruntukan RM50 juta bagi kerja-kerja membaik pulih rumah. 

“Sementara itu, RM50 juta diperuntukkan bagi membaiki jalan perhubungan desa (JPD) dan bagi program ameniti sosial (PAMS) pula diberi peruntukan sebanyak RM50 juta di negeri terkesan bencana banjir baru-baru ini,” katanya. 

Terdahulu pada majlis tersebut, Mahdzir menyampaikan sumbangan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) YPM kepada 401 pelajar dari empat institusi pengajian di bawah Institusi Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Sumbangan berjumlah RM40,100 itu diserahkan kepada pelajar di bawah kategori B40 di Institut Kemahiran MARA (IKM) Johor Bahru, Kolej Profesional MARA (KPM) Bandar Penawar, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang dan KKTM Sri Gading.  – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here