Dunia show business berubah – Zamani

0
545

JIKA kebanyakan penyanyi berpengalaman menganggap isu mengejar rating bagaikan membunuh industri muzik tanah air, nada yang sedikit berbeza pula dilontarkan oleh Zamani Slam.

Jelasnya, perubahan masa dan peredaran zaman membuatkan kandungan program TV tidak lagi sama seperti dahulu. Banyak perkara mengalami perubahan drastik namun masih mengekalkan bakat sebagai keutamaan.

“Kita perlu memahami ini adalah show business dan banyak perkara perlu diambil kira termasuklah bakat dan populariti.

“Saya yakin tidak ada orang pun yang menolak bakat sebagai keutamaan tetapi populariti juga penting untuk menjayakan sesebuah program.

“Hal ini bukan sahaja berlaku di sini tetapi juga di kebanyakan negara lain. Apa-apa pun bakat perlu diutamakan dalam mencari kualiti penyanyi baharu,” jelasnya.

Dia berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai program Big Stage 2022 yang heboh diperkatakan umum sepanjang minggu ini.

Kemunculan usahawan Iqbal Zulkefli bukan sahaja mengejutkan umum, malah pihak penyiar juga mendapat kritikan hebat daripada orang industri sendiri yang kurang senang dengan hal tersebut.

Tambahnya, masih ramai bakat-bakat baharu yang perlu diberikan perhatian dan seboleh-bolehnya biarlah kualiti diletakkan di hadapan.

Namun dia percaya, dalam apa juga pertandingan penilaian tetap dibuat berdasarkan kualiti memandangkan sesebuah program itu diadili oleh juri profesional.

Dalam pada itu, Zamani teruja apabila dipilih bergandingan dengan Datuk Jamal Abdillah menerusi sebuah acara makan malam A Night To Remember bertempat di Hotel Berjaya, Kuala Lumpur pada 26 Mac ini.

Dia akan menyanyikan enam buah lagu dari album solo dan sebuah lagu duet bersama Jamal sebagai tanda kenangan kepada Allahyarham Saleem.

“Buat masa ini saya perlu jaga kesihatan dan banyakkan latihan. Sudah lama tak buat show macam ni, harapnya semuanya berjalan dengan baik.

“Saya juga berharap kes Covid-19 tak tinggi. Risau juga kalau kena batalkan acara. Harapnya tidak begitu,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here