PAS mengulangi komitmen parti itu untuk terus kekal bersama Bersatu dengan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac depan.
Perkara itu dinyatakan sekali lagi oleh Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila di Marang, hari ini.
Menurutnya, parti itu juga sudah membuat anggaran jumlah kerusi yang mahu ditandinginya pada PRN itu, tetapi masih perlu berbincang lebih lanjut dengan parti komponen PN.
“Insya-Allah, kita akan masuk (bertanding) atas tiket PN.
“Anggaran kerusi sudah ada, tapi kita akan dengar maklum balas PAS Johor dan PAS Pusat akan menilai serta turun ke kawasan yang patut kita bertanding,” katanya
Ahli Parlimen Marang berkata, pengumuman mengenai calon dan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan ditandingi parti itu bakal dibuat dalam masa terdekat.
Katanya, calon-calon PAS yang akan diketengahkan pada PRN Johor perlu mempunyai ciri-ciri seperti adil, berpengetahuan dan boleh menjalankan tugas dengan baik.
Sebelum ini, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan PAS bertanding di Johor di bawah payung PN dicapai dalam Muzakarah PAS Bersatu akhir Januari lalu.
Muhyiddin berkata PN juga akan memutuskan berhubung pengagihan kerusi untuk parti-parti komponen bertanding pada PRN Johor itu.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.