
RUNDINGAN pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor antara pembangkang mungkin hampir selesai selepas PKR Johor memaklumkan telah menawarkan tiga lagi kerusi kepada parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Perkara itu hadir selepas MUDA yang dipimpin Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencapai kata sepakat dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bertanding di enam daripada 56 kerusi DUN negeri itu.
Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, sedang menunggu maklum balas daripada MUDA berhubung tawaran tersebut.
Menurut Syed Ibrahim, PKR telah mengadakan tiga siri rundingan bersama MUDA selari hasrat dinyatakan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan PH Johor.
“Dalam siri rundingan tersebut, masing-masing telah memberi pandangan secara jujur dan terbuka.
“Hasil daripada rundingan ini, PKR telah menawarkan tiga kerusi kepada MUDA dan sedang menunggu maklum balas berhubung tawaran tersebut,” katanya dalam kenyataannya pada malam Rabu.
Baca:
http://bit.ly/DAPAmanah6kerusiMUDA
http://bit.ly/MUDA6kerusi
http://bit.ly/AmanahKhianatPKR
Bagaimanapun, Syed Ibrahim tidak memaklumkan kerusi yang dimaksudkannya ditawarkan untuk MUDA.
Semalam, DAP dan Amanah bersetuju memberi laluan kepada MUDA untuk bertanding di enam kerusi DUN dalam PRN Johor, 12 Mac depan.
Dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Syed Saddiq, MUDA akan bertanding di kerusi DUN Tenang; DUN Bukit Kepong; DUN Parti Raja; DUN Machap; DUN Puteri Wangsa dan DUN Bukit Permai.
Amanah, DAP dan MUDA juga bakal bergerak sebagai rakan strategik pilihan raya walaupun MUDA tidak menyertai PH.
Ketiga-tiga pemimpin itu turut percaya bahawa pakatan yang dijalin menerusi rundingan itu akan membawa suara rakyat Johor dengan cemerlang. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.