NPRA terima lebih 1,000 laporan kesan sampingan berkait vaksin Pfizer 

0
425

SEBANYAK 1,047 laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) bagi vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech diterima setakat 31 Januari lepas, melibatkan 992 kes dos primer dan 55 kes dos penggalak, kata Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Dr Roshayati Mohamad Sani.

Bagi vaksin Sinovac pula, sejumlah 544 laporan diterima melibatkan 537 kes dos primer dan tujuh kes dos penggalak manakala vaksin AstraZeneca merekodkan 138 laporan iaitu 136 kes dos primer dan dua kes dos penggalak, katanya.

“Semua AEFI serius yang dilaporkan akan disiasat dan dinilai bagi menentukan hubung kait kesan advers dengan vaksin Covid-19 yang diterima,” katanya dalam sesi libat urus bersama media berkaitan AEFI dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) secara maya hari ini.

Dr Roshayati berkata, penerima vaksin yang mengalami kesan advers boleh melaporkan AEFI melalui aplikasi MySejahtera bagi kesan tersenarai dalam aplikasi itu dan secara dalam talian dengan mengisi Borang Pelaporan Kesan Sampingan Ubat Untuk Pengguna (ConSERF) menerusi laman sesawang NPRA, www.npra.gov.my.

Sementara itu, Perunding Pediatrik dan Subkepakaran Pediatrik Dermatologi Hospital Tunku Azizah (Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur), Dr Sabeera Begum Kader Ibrahim berkata, sebanyak 174 kes Sindrom Keradangan Multisistem pada kanak-kanak (MIS-C) dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak yang terkena jangkitan Covid-19 sejak November 2021.

Menurutnya, kira-kira 56% daripada kes tersebut melibatkan kanak-kanak lima hingga 11 tahun, selain turut melibatkan 25 kanak-kanak berumur bawah setahun, dan antara kesan MIS-C adalah keradangan dan penyakit kronik lain.

“Sudah tiba masanya memulakan program vaksinasi kanak-kanak kerana mereka juga terdedah kepada Covid-19 yang boleh menjadi jangkitan teruk dan mereka mengalami komplikasi disebabkan Covid-19,” katanya.

PICKids bermula 3 Februari dengan dimulakan di Lembah Klang, dan dianggarkan seramai empat juta kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di seluruh negara layak menerima vaksin. PICKids adalah secara sukarela dan tiada sekatan dikenakan untuk kanak-kanak yang tidak divaksin.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal) Dr Hishamshah Mohd Ibrahim berkata satu daripada strategi bagi membolehkan kanak-kanak kembali ke sekolah adalah menerusi imunisasi Covid-19.

Beliau berkata, apabila kanak-kanak tidak divaksin dan hadir ke sekolah, mereka lebih terdedah kepada jangkitan Covid-19, dan seterusnya “membawa pulang” virus ke rumah selain berisiko menjangkiti populasi dewasa.

Kajian juga menunjukkan sebaik sahaja populasi dewasa hampir lengkap divaksinasi, virus Covid-19 boleh menyerang kanak-kanak (yang tidak divaksin),” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here