Rakyat diseru bina komuniti digital berilmu, berintegriti – Annuar

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa hari ini menyeru Keluarga Malaysia supaya bersama-sama membina komuniti digital yang berdaya tahan serta berupaya bertindak secara berilmu, adil dan progresif ke arah kesejahteraan siber.

Beliau berkata, sempena Hari Keselamatan Internet 2022 – Edisi Malaysia bertemakan ‘KITA Siber’, penekanan diberi secara konsisten kepada langkah-langkah membentuk sikap kawalan kendiri serta kebertanggungjawaban ke atas diri sendiri dan orang lain bagi membentuk komuniti digital Keluarga Malaysia yang sejahtera lagi progresif.

Menurutnya  ‘KITA Siber’ bermaksud K untuk Komunikasi, I (Inklusif), T (Tanggungjawab) dan A (Akrab),
Beliau berkata evolusi teknologi digital sememangnya membantu serta memudahkan urusan, namun masyarakat mesti sentiasa bersiap siaga dalam mendepani ancaman dan serangan siber yang semakin berleluasa, selain boleh meruntuhkan moral, akhlak dan nilai murni.

“Saya juga ingin menggesa seluruh Keluarga Malaysia bersama-sama membulatkan tekad untuk menjadi warga digital yang beretika dan berintegriti dalam mendepani ancaman siber yang semakin kompleks,” katanya dalam kenyataan.

Annuar berkata, Hari Keselamatan Internet atau Safer Internet Day (SID) merupakan satu sambutan global yang diraikan pada Februari setiap tahun, dengan tahun ini sambutan peringkat global adalah pada 8 Feb bertemakan ‘Together for a Better Internet’.

Menurutnya, sejak mula diraikan pada 2004 oleh sebuah rangkaian Safer Internet Centres iaitu Insafe Brussels dengan sokongan Suruhanjaya Eropah, kini lebih 200 negara meraikan sambutan itu dengan objektif mendidik serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan keselamatan Internet.

Beliau berkata, ia bertujuan supaya masyarakat menjadi lebih beretika dan bertanggungjawab sewaktu menggunakan teknologi, Internet mahupun aplikasinya serta peranti digital.

Di Malaysia, Hari Keselamatan Internet – Edisi Malaysia bermula pada 2010, dengan pelbagai tema diperkenalkan berdasarkan senario siber semasa yang disesuaikan mengikut trend ancaman dan isu keselamatan siber di negara, menurut Annuar.

“Selamat Hari Keselamatan Internet 2022. Sentiasa Bijak, Sentiasa Selamat. Bersama-sama ke Arah Kesejahteraan Siber,” katanya. – Bernama