[VIDEO] MPN syor buka sempadan negara sepenuhnya seawal 1 Mac ini

MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan kerajaan untuk membuka pintu sempadan negara dalam masa yang terdekat bagi menyokong proses pemulihan negara.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, majlis berkenaan dalam mesyuaratnya pada Selasa telah bersetuju agar sempadan negara dapat dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac 2022 tanpa keperluan kuarantin wajib.

Bagaimanapun katanya, pelawat atau pelancong dari luar negara diwajibkan untuk melakukan ujian Covid-19 sebelum berlepas dan sejurus tiba di pintu sempadan negara mengikut syor Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pembukaan sempadan negara perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat MPN kedua bagi tahun 2022 di Putrajaya, hari ini.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, sempadan negara akan dibuka sepenuhnya buat kesemua negara di seluruh dunia dan memaklumkan maklumat terperinci mengenai prosedur operasi standard (SOP) berkenaan perkara itu akan dimaklumkan oleh KKM.

“Sempadan negara akan dibuka kepada semua negara. Menteri Kesihatan beritahu tadi, kalau nak pilih, Omicron sudah ada di seluruh dunia. Jadi tak boleh memilih-milih. Perincian akan diumum oleh KKM.

“MPN lihat ini satu keputusan yang amat penting dalam kita hendak mengawal wabak ini menular, dan daripada taklimat Menteri Kesihatan, sistem kesihatan awam negara mampu untuk menguruskan wabak berkenaan dengan pengalaman yang ada baik dari segi katil di hospital, ICU, doktor dan sebagainya,” ujarnya.

Sebelum itu di dalam mesyuarat majlis berkenaan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa stategi dos penggalak dan langkah kawalan KKM telah berjaya menurunkan kemasukan kes Covid-19 kategori tiga hingga lima di hospital.

Menurut beliau, Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai peratusan tertinggi lengkap vaksinasi di dunia sekaligus telah membantu meringankan beban ke atas sistem kesihatan negara.

Justeru, menurut Muhyiddin, MPN percaya keputusan untuk membuka pintu sempadan negara merupakan satu perkara yang sangat baik dalam mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara apabila pelabur dan pelancong asing meningkat.

Dalam pada itu katanya, keputusan berkenaan juga mampu untuk membantu memulihkan kembali industri penerbangan negara serta memulihkan ekonomi peniaga yang bergantung kepada pelancong dan sebagainya.

“Kita percaya keputusan ini sangat baik. Namun, dalam masa sama kita pastikan SOP dipatuhi dan tahap kepatuhan SOP di Malaysia cukup baik, oleh itu kita adalah antara negara yang terbaik di dunia dalam mengawal penularan wabak ini,” katanya.–SB