Derita pelbagai penyakit, Ayai Ilusi masih bertahan

DALAM diam rupa-rupanya penyanyi Ayai Ilusi menderita penyakit usus dan buah pinggang sejak setahun yang lalu.

Dia yang mendedahkan perkara ini mengakui, keadaan kesihatan yang turun naik membuatkan dia terjejas untuk mencari rezeki ditambah dengan pandemik Covid-19 merencatkan beberapa perkara lain.

“Sebelum ini saya mengalami bengkak usus tapi alhamdulilah penyakit tersebut sudah mula baik. Tapi buah pinggang pula ada masalah

“Sehingga ke hari ini saya masih lagi mendapatkan rawatan untuk penyakit buah pinggang. Biasalah orang lama, macam-macam penyakit muncul,” dedahnya.

Pun begitu penyanyi yang berusia 60 tahun ini diuji apabila beberapa masalah lain timbul.

Dia yang menghidap penyakit gout dan asid urik tinggi membuatkan perlu berhati-hati dan mengelakkan beberapa jenis makanan untuk mencegah sakit berpanjangan.

“Banyak makanan perlu dielakkan dan saya pula perlu mengambil ubat secara konsisten,” tambahnya lagi.

Bercerita mengenai keadaan semasanya pula, Ayai mengakui tempoh pandemik yang dilalui oleh semua memberikan kesan besar buat dirinya.

Dia perlu berjimat cermat memandangkan undangan nyanyian semakin berkurangan namun tetap bersyukur kerana masih mampu melaluinya bersama keluarga.

“Memang sakit bila berhadapan dengan pandemik ni. Undangan makin kurang dan saya perlu cari rezeki dengan cara lain.

“Untungnya saya masih mampu bertahan dan ada juga bantuan yang diberikan daripada beberapa pihak lain. Dapatlah saya meneruskan hidup,” tambahnya lagi.–SB