Kes harian Covid-19 meningkat, AME2021 ditangguh

0
460

ANUGERAH Meletop Era 2021 (AME2021) yang sepatutnya berlangsung malam Ahad terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Stesen TV Astro dalam satu kenyataan berkata, keputusan menangguhkan acara tersebut berpunca daripada kes harian Covid-19 yang semakin meningkat naik.

“Melihat pada jumlah kes harian Covid-19 yang semakin meningkat, Astro sebagai sebuah syarikat korporat yang bertanggungjawab, dengan berat hatinya mengumumkan bahawa kami mengambil keputusan untuk menangguhkan penganjuran Anugerah Meletop ERA 2021 (AME2021) yang dirancang pada 30 Januari 2022, ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

“Astro sentiasa menitik beratkan keselamatan dan kesejahteraan setiap mereka yang terlibat dengan mana-mana produksi terbitan kami.

“Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang telah ditetapkan pihak berwajib sentiasa menjadi keutamaan kami,” menurut kenyataan tersebut.

Sebagai langkah berjaga-jaga dan proaktif, Astro sentiasa melakukan pemeriksaan pra-kesihatan secara menyeluruh termasuklah menjalankan ujian saringan Covid-19 kepada semua sebelum program bermula.

“Sebelum acara berlangsung, berdasarkan pemeriksaan pra saringan kesihatan ke atas kesemua yang bakal menyertai produksi AME2021, sejumlah individu telah dikenal pasti perlu dikecualikan, termasuk mereka yang harus menjalani proses kuarantin kendiri dalam tempoh waktu seperti yang ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Walaupun mereka telah dikesan lebih awal dan tidak dibenarkan masuk ke lokasi rakaman AME2021, kami tetap mengambil langkah lebih berjaga-jaga dan tidak ingin mengambil sebarang risiko berkenaan dengan keselamatan mana-mana pihak memandangkan statistik harian semakin meningkat,” ujarnya.

Pihak Astro juga memohon maaf kepada semua yang terlibat terutamanya barisan artis, para penaja, rakan-rakan niaga, penonton khususnya pengundi dan kru produksi di atas kejadian yang tidak diduga dan di luar kawalan ini.

AME 2021 sepatutnya bersiaran secara langsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada malam ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here