Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
JKMPay untuk atasi salah guna bantuan OKU – Rina Harun -

JKMPay untuk atasi salah guna bantuan OKU – Rina Harun

BUKAN untuk menyukarkan tetapi untuk mengelakkan daripada bantuan disalahgunakan itulah tujuan utama pengenalan Projek Rintis Pembayaran Bantuan Bulanan JKM Secara Tanpa Tunai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, program itu bukan untuk menganiaya Orang Kelainan Upaya (OKU) bahkan bagi memastikan kesejahteraan golongan itu sentiasa terpelihara.

JKMPay menurut beliau, diperkenalkan bukan untuk menyukarkan golongan OKU bahkan ia bagi mengelakkan bantuan itu disalahgunakan pihak lain.

“Pelaksanaan program ‘cashless’ ini memberi banyak kelebihan termasuk mendidik penerima bantuan mengurus dan mengawal perbelanjaan wang bantuan secara berhemah dan teratur.

“Sebagai contoh tanpa tunai ini tidak boleh disalahgunakan oleh penerima untuk membeli rokok dan arak,” katanya pada sidang media di Kelana Jaya pada Ahad.

Dalam pada itu, Rina berkata, program itu masih di peringkat rintis dan hanya melibatkan penerima bantuan baharu di kawasan terpilih tanpa membabitkan penerima bantuan sedia ada.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menjalankan Kajian Kebolehlaksanaan Projek Rintis Cashless pada 14 Jun sehingga 10 Julai 2021 di seluruh lokasi projek rintis.

“Setakat ini ia hanya melibatkan seramai 1,066 orang penerima bantuan. Majoriti peserta memberi sokongan kepada pelaksanaannya dan memudahkan mereka membuat kawalan perbelanjaan untuk menampung keperluan harian.

Rina selanjutnya menjelaskan, penerima bantuan juga menerima sepenuhnya 100 peratus bantuan yang melibatkan pembahagian 50 peratus secara tunai dan 50 peratus secara cashless tanpa ada sebarang pemotongan.

Beliau menambah, setakat Disember 2021 terdapat seramai 519, 409 orang penerima bantuan yang dikelolakan JKM dan hanya seramai 3,722 orang merupakan penerima bantuan baharu yang mengikuti projek rintis tanpa tunai ini.

“Setiap penerima bantuan telah diberikan penerangan dan menandatangani surat persetujuan sebelum terlibat dengan projek rintis ini,” katanya.

Dalam pada itu, keprihatinannya kepada OKU dapat dilihat dalam usaha menaikkan bantuan kepada golongan itu selepas bertahun-tahun elaun tersebut tidak dinaikkan menerusi perbincangan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul.

“Alhamdulillah hasilnya, kadar-kadar bantuan untuk OKU telah berjaya dinaikkan contohnya Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja daripada RM250 kepada RM300; bantuan Penjagaan OKU Terlantar dinaikkan daripada RM350 ke RM500.

“Elaun pekerja OKU juga dinaikkan daripada RM400 kepada RM450; kadar saguhati petugas Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dinaikkan daripada RM800 kepada RM1,200; manakala kadar saguhati penyelia PDK dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500,” katanya.

Terdahulu beliau menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada penghuni Pusat Jagaan Orang Kelainan Upaya (OKU) Sempena Tahun Baharu Cina di rumah kebajikan Persatuan Kebajikan Chen Ai OKU di Kelana Jaya. – SB