Royalti & realiti, Tomok dedah perkara sebenar 

0
450

ISU bayaran royalti yang diterima oleh penyanyi Tomok sebelum ini benar-benar mengejutkan ramai pihak. 

Masakan tidak, jumlah yang diterima sebanyak RM19.60 untuk tahun 2013 hingga 2020 disifatkan satu jumlah yang sangat sedikit dan tak masuk akal.

“Pahit untuk ditelan tetapi tidak mengapa, terus pandang ke depan,” tulisnya menerusi satu hantaran ke dalam media sosial miliknya baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai perkara berkenaan, Tomok menganggap apa yang dilaluinya sebagai sesuatu yang harus diterima dengan hati yang terbuka.

Meskipun berasa ralat dengan jumlah tersebut yang disifatkan tidak setimpal dengan hasil kerja kreatifnya, dia harus akur dengan perkara tersebut.

“Ini realiti sebenar yang dilalui oleh anak seni. Walaupun jumlah yang diterima tak masuk akal, kena redha dan meneruskan sahaja kerja pada masa hadapan.

“Sebab itu sejak dahulu lagi saya sentiasa mengingatkan diri untuk membuat simpanan dan tidak membazir. Tiada keperluan membeli, jangan beli,” jelasnya lagi.

Pendedahan tersebut sebenarnya mendapat pelbagai reaksi daripada peminat. 

Ada yang menganggap jumlah tersebut tidak masuk akal dan tak kurang juga yang bersimpati dengan nasib golongan anak seni.

Bagi vokalis kumpulan New Boyz ini, dia mendedahkan perkara tersebut sebagai tanda peringatan kepada semua agar berhemah dalam hidup.

“Tak ada niat pun nak kecoh-kecoh dengan amaun tersebut. Saya bukan nak cari populariti dengan cara menularkan gambar cek tersebut.

“Saya cuba nak memberitahu realiti sebenar dan mahu semua rakan-rakan berjimat dan menyimpan. Boleh nak berbelanja tapi berwaspada.

“Orang selalu ingat kehidupan anak seni semuanya indah padahal mereka tak tahu apa realiti sebenar,” katanya memberikan penjelasan. – SB