Naik 313.3%, KKM bimbang trend peningkatan kluster pendidikan

0
223

KENAIKAN sehingga 313.3 peratus. Itu peningkatan mendadak kluster pendidikan sepanjang tempoh minggu lalu sehingga membimbangkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, perkembangan itu amat membimbangkan susulan individu daripada pelbagai isi rumah akan berada dalam ruang dan waktu yang sama.

Beliau menjelaskan, ia berisiko menyebabkan tercetusnya kluster yang tidak diingini.

Sepanjang tempoh minggu lalu katanya, KKM mengesan sebanyak 62 atau 70.5 peratus kluster pusat pendidikan disusuli 18 (20.5 peratus) kluster tempat kerja, empat (4.6 peratus) kluster kumpulan berisiko tinggi dan masing-masing satu (1.1 peratus) kluster komuniti; kluster keagamaan; kluster import dan kluster pusat tahanan.

“Seperti semua sedia maklum, sesi persekolahan bermula 9 Januari lalu seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

“Pada ME (Minggu Epidemiologi) 3/2022, kluster institusi pendidikan menunjukkan peningkatan yang mendadak sebanyak 313.3 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, selain itu, kluster tempat kerja dan kluster pusat tahanan juga menunjukkan peningkatan 80 peratus dan 100 peratus

Namun katanya, kluster komuniti, kluster kumpulan berisiko tinggi dan kluster import pula masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 88.9 peratus, 20.0 peratus dan 66.7 peratus pada ME 3/2022, berbanding ME 2/2022.

“Walaupun kebanyakan populasi dewasa dan remaja sudah menerima vaksin COVID-19,
SOP perlu sentiasa ditekankan sama ada sebelum, semasa, dan selepas sesi persekolahan.

“Pemakaian pelitup muka dengan cara yang betul dan kebersihan tangan amat penting dalam mengawal penularan Covid-19,” tambahnya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham meminta semua pihak sentiasa menjalani saringan COVID-19 sekiranya bergejala sebelum hadir ke kawasan sekolah atau institusi pendidikan.

Jelas beliau, keselamatan dan kesihatan warga pendidikan perlu diberi perhatian supaya dapat mengurangkan serta mencegah kluster baharu pendidikan.

“Oleh itu, KKM akan sentiasa mengadakan perbincangan dengan KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi mengukuhkan aktiviti kawalan dan pencegahan penularan jangkitan COVID-19 di institusi pendidikan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here