Radhi OAG cari dana langsai bil perubatan arwah ibu

0
427

TIDAK mampu melangsaikan bil perubatan arwah ibunya yang berjumlah RM18,000, penyanyi Radhi OAG berhasrat mengadakan satu persembahan bagi mengumpul dana untuk tujuan tersebut.

Sebagai seorang anak yang begitu akrab dengan ibunya, Allahyarham Fatimah Wee Abdullah, 66, dia perlu bekerja keras mencari wang untuk menyelesaikan bil tersebut secepat mungkin.

“Arwah ibu meninggal 40 hari selepas pemergian abang sulung saya akibat kanser usus dan dikebumikan di Kota Damansara.

“Apabila dihitung, bil yang perlu dibayar kepada pihak hospital kira-kira RM18,000. Dan sebagai anak sudah pasti saya perlu melangsaikan segala hutang yang ada.

“Untuk itu saya mahu mengumpul dana dengan cara mengadakan persembahan. Harapnya urusan saya dipermudahkan,” dedah Radhi tanpa berselindung.

Menariknya, hasrat tersebut mendapat kerjasama baik daripada orang sekeliling. Persembahan tersebut bakal diadakan pada Mac hadapan bertempat di Bayang Coffee Cafe, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Namun begitu, dia dan pasukannya masih belum memperincikan butiran mengenai persembahan tersebut yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Tambah penyanyi ini lagi, dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan hutang ibunya dapat dilangsaikan segera.

“Saya memang cukup rapat dengan ibu. Apabila dapat tahu sahaja dia menghidap kanser usus beberapa bulan lalu, saya reda sekiranya apa pun yang terjadi.

“Apabila ibu mahu ‘pergi’, sayalah orang yang mengajar dia mengucap. Bila tengok air matanya mengalir, saya takkan lupa sampai bila-bila,” kata Radhi sebak.

Sepanjang hayat, wanita berkenaan banyak menasihatinya dan mengubah hidupnya agar lebih baik hari demi hari.

Untuk rekod, ibu Radhi meninggal dunia pada 14 Januari lalu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here