TIDAK diberi ruang dan peluang untuk bergerak serta menyumbang kepada perubahan politik menjadi antara alasan mengapa bekas pemimpin DAP Pulau Pinang meninggalkan parti itu serta menjauh daripada Pakatan Harapan (PH).
Perkara itu dinyatakan bekas Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun yang kini merupakan Koordinator Parti Warisan Sabah (Warisan) Pulau Pinang.
Menurut Jeff Ooi yang mula aktif dalam DAP Pulau Pinang sejak 2007, keputusan menyertai parti Warisan juga dibuat berikutan latar belakang parti itu yang pelbagai agama dan kaum sekali gus menggambarkan ciri-ciri parti politik yang diperlukan rakyat Malaysia.
Dalam masa sama ujar beliau, ketika ini juga merupakan masa yang sesuai untuk beliau dan bekas pemimpin DAP Pulau Pinang lain kembali bergerak aktif dalam politik selepas hanya menilai dan memerhati kemelut politik negara sejak pilihan raya umum lalu dari luar.
Begitupun ujar Jeff Ooi, fokus Warisan Pulau Pinang bukan semata-mata menjadi tapak baharu kepada bekas pemimpin DAP sebaliknya melangkaui lebih luas daripada itu.
Ujarnya, paling utama Warisan Pulau Pinang mahu menjadi platform kepada generasi muda dan profesional untuk bergiat aktif dalam politik seterusnya menawarkan satu pembaharuan dan perubahan dalam suasana politik negara.
“Sebab itu ramai lagi (pemimpin DAP dan ahli korporat Pulau Pinang) akan diperkenalkan satu demi satu, banyak lagi akan muncul,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar memperkenalkan parti Warisan Pulau Pinang hari ini yang turut dihadiri dua lagi ahli parti itu iaitu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Batu Lanchang, Datuk Danny Law Heng Kiang dan bekas Ketua Kakitangan Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang, Martin H. P. Lim.
Dalam pada itu menurut Jeff Ooi, Parti Warisan Pulau Pinang meletakkan sasaran bertanding di kesemua 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 13 Parlimen Pulau Pinang sebagai syarat untuk berkuasa di peringkat Pusat.
Jelasnya, parti itu juga sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik lain pada PRU-15 yang mampu memberikan kestabilan kepada negara dan mengelak situasi huru-hara politik seperti yang berlaku sejak Langkah Sheraton. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.