Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pengurusan masjid tak boleh jatuh hukuman sendiri -

Pengurusan masjid tak boleh jatuh hukuman sendiri

TINDAKAN orang ramai, terutama pihak pengurusan masjid, mengambil tindakan sendiri menghukum individu disyaki melakukan kesalahan adalah amat tidak wajar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Idris Ahmad.

Menegaskan perbuatan mencuri atas apa alasan sekalipun dilarang dalam Islam, beliau berkata, perkara itu sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya dan pesalah wajar dihakimi seadil-adilnya, lapor Bernama.

Perbuatan orang ramai termasuk pengurusan masjid yang mengambil sebarang bentuk hukuman sendiri terhadap orang yang disyaki melakukan kesalahan adalah amat tidak wajar, katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau menasihatkan orang ramai termasuk pihak pengurusan masjid agar tidak terjebak dengan sentimen tertentu atau cuba mengambil tindakan sendirian sehingga boleh menyebabkan kezaliman kepada orang yang disyaki melakukan kesalahan.

“Perbuatan merakam gambar orang yang disyaki (melakukan kesalahan) bagi tujuan sebaran awam juga adalah merupakan suatu perkara yang amat tidak wajar,” katanya.

Idris menyeru masyarakat supaya sentiasa cakna terhadap anggota kejiranan dan bersama mengambil peranan dalam mencegah masalah sosial yang berlaku di sekeliling mengikut peranan masing-masing tanpa melampaui had.

Media sebelum ini melaporkan insiden tular menerusi media sosial yang memaparkan tindakan jemaah sebuah masjid memandikan seorang lelaki seperti jenazah selain melumurkannya dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menasihatkan semua pegawai dan AJK masjid di Selangor sentiasa bertindak dengan bijaksana dalam semua perkara membabitkan pentadbiran hal ehwal masjid dan kariah.

“Pegawai dan AJK hendaklah sentiasa mengawal tingkah laku serta percakapan dan keputusan yang dibuat perlu dalam semangat mewujudkan posisi menang menang untuk pihak yang terbabit,” kata Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Penyebaran video itu tidak membawa sebarang kebaikan kepada kedua-dua pihak, malah mengundang kutukan daripada masyarakat dengan pelbagai komen negatif, selain memberi persepsi buruk mengenai sikap pengurusan institusi masjid.

Difahamkan imam yang turut terbabit mengambil tindakan memandikan ‘jenazah’ remaja berkenaan juga sudah meletak jawatan. – SB