Remaja curi tabung masjid pernah curi wang, motosikal datuk, ugut cederakan nenek

0
531

DATUK kepada remaja yang tertangkap mencuri tabung masjid sebelum dimandikan seperti jenazah di Kuang Rawang pada Isnin, mendedahkan cucunya itu pernah mencuri wang dan motosikalnya selain pernah mengugut untuk mencederakan neneknya sendiri.

Rosli Sidek, 65, berkata, cucunya, Daniel Iskandar Mohd Nasir, 19 merupakan remaja yang bermasalah dan mengakui sudah tidak sanggup untuk menjaga remaja berkenaan kerana sering bertindak di luar kawalan dan agresif.

“Kemungkinan besar dan dikhuatiri dia ada ambil benda terlarang dan baru terjebak jadi penagih kerana sering melakukan tindakan luar dugaan.

“Contohnya dia pernah mencuri wang dan motosikal saya, wang simpanan umrah arwah neneknya, telefon bimbit saudaranya, pernah hendak ugut mencederakan arwah neneknya dan sering pulang lewat malam,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette.

Rosli turut memberitahu

bahawa dia sendiri yang meminta Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al Islahiah supaya menyerahkan cucunya itu kepada pihak polis.

Katanya, beliau melakukan perkara itu bagi memberi pengajaran kepada cucunya dengan harapan Daniel Iskandar berubah kepada orang berguna pada masa depan.

Justeru, Rosli memohon agar netizen berhenti menyalahkan AJK masjid berkenaan yang membawa kes curi cucunya itu kepada pihak berkuasa.

“AJK masjid terlebih dahulu berbincang dengan saya, namun saya nekad untuk kes dia disiasat polis. Saya tidak ambil hati pun video dia dimandikan jenazah tular, malah bersyukur dia diberi pendidikan kerana mencuri.

“Nasib baik hanya dijirus air biasa kalau air panas macam mana,” katanya yang tidak menyesal tidak mempertahankan cucunya itu agar kes curi itu diselesai cara baik.

Dalam pada itu, Rosli turut menjelaskan bahawa dirinya tidak pernah menyuruh cucunya untuk membeli ubat sehingga perlu mencuri seperti mana dakwaan remaja berkenaan ketika dibicarakan di Mahkamah Majistret Selayang.

“Saya pun ada terima bantuan Lembaga Zakat Selangor sebanyak RM400 sebulan. Malah pihak AJK masjid selalu bertanya khabar dan memberi barang keperluan asas seperti beras setiap bulan,” katanya.

Mahkamah Majistret Selayang pada Khamis telah menjatuhi hukuman penjara 10 hari bermula tarikh ditangkap iaitu 9 Januari lalu dan denda sebanyak RM 4,000 kerana cuba mencuri tabung masjid.

Baca berita berkaitan: Remaja ‘dimandikan seperti jenazah’ ketika cuba curi tabung masjid dipenjara 10 hari, denda RM4,000 – SatuBerita

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa cuba mencuri tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyembunyikannya dalam bilik mandi jenazah pada jam 11.88 malam, 8 Januari lalu.

Kesalahan itu boleh di hukum dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here