Suami isteri antara ditahan kes sijil vaksinasi palsu

0
275

POLIS menahan sepasang suami isteri yang juga penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan di negeri ini kerana menggunakan sijil vaksinasi digital COVID-19 disyaki palsu menerusi aplikasi MySejahtera, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata selain pasangan berusia 38 dan 33 tahun itu, pihaknya turut menahan rakan sekerja lelaki mereka berusia 58 tahun yang disyaki orang tengah bagi menguruskan penjualan dan proses muat turun sijil tersebut.

Beliau berkata ketiga-tiga mereka ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah pada kira-kira 4 petang.

“Pada 30 Dis lepas, status vaksinasi lengkap dua dos pasangan suami isteri berkenaan diragui palsu oleh pengarah jabatan terlibat sebelum mengarahkan seorang pegawai tadbirnya di pejabat khidmat pengurusan menyemak ketulenan sijil tersebut.

“Pada keesokan hari, pegawai tadbir itu telah menghantar surat kepada Klinik Kesihatan (KK) Rembia untuk membuat semakan dan pengesahan status berkenaan sebelum menerima maklum balas daripada KK Rembia pada 5 Jan lepas mengatakan pasangan berkenaan tidak menerima vaksin daripada klinik itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pasangan tersebut mendapatkan sijil vaksinasi digital berstatus dua dos lengkap berkenaan daripada rakan sekerjanya itu pada harga RM500 seorang.

Katanya sijil berkenaan dibeli mereka kerana ia merupakan prasyarat untuk mendapatkan bantuan khas kewangan atau bonus penjawat awam selain mengelak dikenakan tindakan oleh jabatan kerana enggan divaksin serta memudahkan mereka memasuki premis perniagaan.

Arshad berkata semakan mendapati suami isteri itu pernah membuat laporan polis pada pertengahan tahun lepas kerana enggan menerima suntikan vaksin COVID-19.

Beliau berkata siasatan ke atas lelaki yang merupakan orang tengah itu mendapati suspek memuat turun sijil vaksinasi dua dos lengkap itu daripada seorang lagi suspek digelar sebagai ‘VNilai’ dan masih bebas.

“Polis turut merampas telefon bimbit milik ketiga-tiga mereka dan kesemuanya direman hingga hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here