JARANG yang tidak kenal dengan kumpulan rock terkenal tanah air, Search, bahkan namanya boleh dikatakan tidak pernah padam di hati peminat dari generasi ke generasi.
Peminat kumpulan itu mahupun peminat genre muzik rock kini boleh melihat dengan lebih dekat koleksi-koleksi peribadi ahli Search yang dipamerkan di sebalik rak kaca, selain membeli belah barangan cenderahati keluaran kumpulan itu di Search Rock Station di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur.
Pemilik bersama Search Rock Station, Mozylir Mokhtaruddin berkata, dia bersama-sama dua gitaris adik beradik iaitu Nordin Mohd Taib atau Din dan Hamzah Mohd Taib atau Kid mengambil keputusan untuk membuka kedai berkenaan kerana minat terhadap fesyen yang mendalam.
“Kami memang minat fesyen, dulu pun kami banyak kumpul baju-baju kumpulan luar. Kami juga pernah meniaga pakaian terpakai sekitar tahun 90-an dahulu. Memang ada minat bidang fesyen.
“Timbulnya idea ini sebab kalau kita tengok ada banyak kumpulan rock di Malaysia, cuma ‘merchandise’ mereka kita nampak seolah tak diurus dengan baik. Sebenarnya ini merupakan salah satu perkara yang boleh jana pendapatan untuk band itu sendiri,” katanya kepada SatuBerita.
Tambahnya, Search Rock Station itu merupakan stesen rock pertama di Malaysia dan Search merupakan kumpulan yang pertama membuka kedai untuk jual barangan cenderahati khusus Search.
KOMPLEKS CAMPBELL
Katanya, mereka memilih Kompleks Campbell sebagai lokasi kedai mereka kerana kompleks berkenaan sudah cukup sinonim dengan muzik rock sekitar 80-an dan 90-an.
“Peminat-peminat muzik rock bila sebut sahaja Kompleks Campbell mereka sudah kenal. Jadi mereka lebih senang nak datang.
“Buat masa sekarang, kami nak fokus kedai ni dulu, sebenarnya banyak lagi benda yang nak buat di kedai ni terutamanya dekorasi seperti ‘wall of fame’ untuk ahli kumpualan, dan kita nak kumpul balik gambar-gambar lama.
“Ada juga tawaran daripada peminat-peminat Search sendiri yang nak buka cawangan kedai ini seperti di Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan sebagainya, tetapi perkara itu masih dalam perbincangan,” ujarnya.
Search Rock Station kini dalam usaha untuk menjadikan kedai mereka yang mesra peminat, sekaligus membuatkan peminat merasa lebih dekat dengan anggota Search atau kumpulan itu secara keseluruhan.
“Kita nak Rock Station ini sebagai satu medium kepada peminat untuk merasa lebih dekat dengan Search. Jadi peminat boleh datang berjumpa dengan ahli kumpulan untuk bergambar, dapatkan tandangan dan sebagainya.
“Dulu susah nak jumpa bintang rock, jadi sekarang siapa yang nak jumpa dengan bintang rock datang sahaja ke kedai,” ujarnya.
Malah, bagi lebih membangkitkan keterujaan peminat ketika mengunjungi kedai berkenaan, mereka turut mempamerkan baranagn koleksi peribadi ahli kumpulan itu sendiri untuk dihayati oleh peminat.
“Kita juga nak tonjolkan, inilah dia Search. Maknanya dia berbeza dari yang lain kerana kita akan masukkan juga koleksi peribadi daripada Din Search dan Kid Search seperti gitar, pakaian mereka seperti jaket, kasut ketika zaman 90an.
“Jadi, ini boleh dianggap seperti barangan memori. Peminat boleh datang tengok dan bergambar. Barang paling rare, adalah gitar koleksi peribadi Din Search yang hiasannya direka sendiri. Selain itu kita juga pamerkan koleksi mainan Din Search seperti Star Wars, Gundam dan sebagainya,” katanya lagi.
ROCKOBOX
Ketika ini, Search Rock Station sedang giat menjual set kotak dikenali sebagai Rockobox yang mengandungi 13 barangan seperti baju, bandana, pelekat, buku lirik dan trivia, kaset dan sebagainya.
“Kita jual sebanyak lima ratus unit sahaja. Bila habis terjual kami akan buat cabutan bertuah dan pemenang akan diberikan tiga hadiah, dua buah gitar, serta penginapan dua hari 1 malam di Hotel Hard Rock Café, Desaru Coast, Johor,” katanya.
Ujarnya, semua peminat dalam arena ‘rock and roll’ tanah air khususnya peminat Search atau apa-apa kumpulan muzik rock, amat dialukan untuk mengunjungi kedai itu tidak kira untuk membeli atau menghayati barangan pameran mereka.
“Saya harap lepasni kumpulan atau artis-artis yang dalam industri rock juga boleh ikut apa yang kami buat untuk raikan peminat kita kerana selama ini peminat yang banyak sokong kita,” katanya.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.