[VIDEO] KPM, KKM setuju benarkan murid laksana ujian saringan Covid-19 di rumah

0
53

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) membenarkan ujian kendiri Covid-19 bagi murid-murid dilaksanakan di rumah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, berkata KPM bersama Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju dalam melaksanakan pendekatan baharu ini dan pihak KKM akan mengeluarkan kenyataan mengenai tatacara yang harus diikuti bagi murid melakukan ujian kendiri.

Kata Radzi, pendekatan ini akan mula dilaksanakan pada minggu ini dan sekali gus akan membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah berjalan dengan lancar.

“KPM telah berbincang dengan KKM tentang pendekatan untuk pelaksanaan ujian ini. KKM telah bersetuju untuk membenarkan ujian ini dilaksanakan di rumah, dan keputusannya dimaklumkan kepada pihak sekolah. Kit ujian akan disediakan oleh pihak sekolah.

“Pendekatan baharu ini akan mula dilaksanakan pada minggu ini, dan KKM akan mengeluarkan kenyataan media bagi menjelaskan perkara ini,” katanya menerusi satu video di Facebook.

Tambah Radzi, ibu-bapa kepada anak-anak yang terpilih untuk melaksanakan ujian kendiri di rumah, harus melaksanakan ujian berkenaan berdasarkan tatacara yang telah ditetapkan dalam kenyataan media KKM nanti.

“Ini bagi memastikan sesi persekolahan dapat berlangsung dengan teratur dan selamat. Jika ia tidak dilaksanakan mengikut tatacara yang ditetapkan, yang akan terkesan bukan sahaja anak-anak, tetapi kawan-kawan mereka serta guru-guru mereka di sekolah. 

“Oleh demikian, adalah amat penting apabila kita mulakan pelaksanaan pendekatan baharu ini, ibu bapa memainkan peranan untuk memastikan ujian ini dapat dilaksanakan dengan teratur,” tegasnya.

Menurutnya, ia supaya sesi persekolahan dapat terus berlangsung dengan dalam keadaan teratur dan selamat.

Pada 1 Disember 2021, KKM melaksanakan Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan (KKM) di mana seramai 10 peratus murid sekolah rendah akan dipilih secara rawak setiap minggu bagi menjalani ujian saringan kendiri mingguan secara bergilir di sekolah. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here