Rasuah lagi:SPRM tahan semula bekas pengurus GLC

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG bekas pengurus syarikat milik kerajaan (GLC) yang tamat tempoh reman pada hari ini berhubung kes rasuah di Segamat, ditahan semula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi.

SPRM Cawangan Segamat menahan suspek yang berusia 61 tahun itu bagi membantu siasatan satu lagi kes berkaitan penyalahgunaan kuasa melibatkan pemberian projek-projek kepada dua anaknya benilai lebih RM50,000.

Suspek itu sepatutnya dibebaskan daripada reman hari ini tetapi ditahan pihak SPRM Cawangan Segamat bersama-sama dua anak lelakinya yang masing-masing berusia 28 dan 34 tahun antara pukul 4 hingga 4.30 petang tadi.

Sementara seorang lagi pengurus syarikat yang juga berusia 61 tahun ditahan bersama-sama pengurus GLC itu pada 6 Januari lalu, dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tempoh reman lima hari terhadapnya tamat hari ini.

Menurut sumber, sekitar Disember tahun lalu, suspek warga emas itu yang sebelum ini bertugas sebagai pengurus GLC di Segamat telah memberikan beberapa projek kepada dua anaknya yang memiliki syarikat sendiri.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan ketiga-tiga penahanan terbabit dan berkata kes disiasat dibawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Azmi Alias

Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa, bagi mendapatkan permohonan reman.

Pada 6 Januari lalu, SPRM menahan pengurus GLC dan pengurus syarikat tersebut di pejabat SPRM Johor Bahru bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah melibatkan nilai RM500,000.

Pada 2019 hingga 2020, Pengurus GLC itu telah menerima rasuah daripada pengurus syarikat terbabit sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja kontrak perladangan di daerah tersebut. – SB