Bermula dengan catur di komputer, kini beraksi di pentas dunia

BAGAI babak dalam sebuah siri Netflix, The Queen’s Gambit yang menceritakan liku perjalanan seorang remaja yang handal bermain catur sehingga menjadi pemain catur terbaik dunia.

Itulah yang boleh dikatakan mengenai seorang remaja Nur Batrisya Wafa, 17, yang bertanding dalam pertandingan catur Terbuka Czech di Prague yang bermula sejak Jumaat lalu.

Bapanya, Mohsen Amdan, 44, berkata, Batrisya mula bermain catur sejak berumur 10 tahun dan kerap bermain permainan itu menerusi aplikasi di dalam komputer.

“Kebetulan juga guru besar di sekolahnya merupakan seorang yang cenderung kepada permainan catur.

“Sekolahnya juga yang lebih menumpukan kepada sukan golf turut bertukar tumpuan kepada permainan catur,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Ekoran itu, Batrisya telah mula berkecimpung dalam permainan catur malah ada juga kelas catur yang turut dianjurkan oleh sekolahnya di SMK Convent Kajang.

Mohsen turut menyatakan bahawa Batrisya juga sudah mula menjadi jurulatih catur dan dia menyokong sepenuhnya langkah itu kerana baginya ia dapat membantu Batrisya untuk mengasah bakatnya dalam permainan catur.

Ketika ditanya mengenai keputusannya yang menghantar anaknya bertanding sehingga ke peringkat antarabangsa, dia menyatakan bahawa ianya adalah peluang menimba pengalaman dan dalam pada masa yang sama boleh membantu Batrisya sendiri untuk mendapatkan biasiswa untuk menyambung pelajaran.

“Saya sendiri memang orang yang aktif dalam sukan, jadi saya faham tentang proses sukan dan laluan atlet.

“Jadi kita gunakan peluang yang ada untuk letakkan dia pada saluran yang kita rasa berbaloi untuk dilaburkan,” katanya.

Mohsen yang juga merupakan Pengarah BolarotanTV berasa yakin dengan anaknya selepas mewakili Selangor dalam pertandingan Catur peringkat sekolah serta banyak melibatkan diri dalam kejohanan catur.

Tambahnya, pencapaian anaknya telah meyakinkan dirinya dan isterinya, Wan Fatahhiyah Remli untuk mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi membolehkan anak perempuan mereka beraksi dalam pertandingan catur Terbuka Czech di Prague.

Bagaimanapun, Mohsen berharap agar pencapaian Nur Batrisya boleh menjadi contoh dan sumber inspirasi kepada remaja-remaja lain. 

Setakat semalam, Batrisya yang beraksi dalam kategori terbuka sudah beraksi dalam empat perlawanan dengan merekodkan satu kemenangan, satu kalah dan dua seri. – SB