Skim Insurans bersasar bencana banjir perlu diperkenal – Bersatu

KERAJAAN perlu memperkenalkan skim insurans bencana banjir serta perlindungan untuk kebakaran dalam susidi bersasar dalam usaha membantu golomgan B40 dan M40 yang terjejas akibat bencana alam itu.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) , Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah memperkenalkan subsidi bersasar tersebut mampu untuk membantu meringankan mangsa banjir yang mengalami kemusnahan harta benda.

Katanya, selain memberi perlindungan kepada mangsa banjir, kerajaan juga dicadangkan untuk memperluaskan program Baucar Perlindungan Tenang untuk kumpulan sasar berkenaan bagi tujuan yang sama.

“Setahu saya, memang ada syarikat insurans dan takaful menawarkan perlindungan untuk banjir serta kebakaran, namun kesedaran dalam kalangan rakyat masih rendah.

“Selain itu, ramai juga tidak mampu untuk membelinya,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau menambah, hasil kaji selidik Zurich Malaysia mendapati 74 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai perlindungan insurans untuk bencana banjir, manakala 59 peratus tidak mempunyai insurans kebakaran.

Ekoran itu, Wan Saiful menyifatkan angka berkenaan adalah amat tinggi dan menjadi satu perkara yang perlu ditangani.

“Saya dimaklumkan ada skim perlindungan banjir berharga kurang RM90 setahun untuk pakej asas. Mungkin kerajaan boleh memberi subsidi RM50 secara ‘sekali bayar’ dalam bentuk baucar sebagai galakan, atau memperluaskan Baucar Perlindungan Tenang untuk tujuan ini.

“Syarikat insurans pula mestilah bersaing dalam pasaran terbuka untuk memberi harga dan perlindungan paling kompetitif kepada rakyat. Jangan pula ini dijadikan peluang untuk mewujudkan monopoli,” ujarnya.

Tambahnya, saranan pemberian subsidi itu juga mampu menjadi satu mekanisme bagi mempertingkatkan kesedaran mengenai kepentingan insurans serta takaful, selain bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan.


““Saya sedar ini tidak akan dapat membantu semua yang terkesan sekarang.

“Namun paling tidak pun, ia akan dapat mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung jika bencana berlaku lagi pada masa depan,” ujarnya lagi.–SB