KIRA-kira 13 juta penduduk Xian, bandar di utara China dikenakan perintah berkurung yang ketat bermula Rabu oleh pihak berkuasa ekoran lonjakan kes Covid -19 sejak awal Disember lalu, lapor Xinhua.
Xian melaporkan 91 kes tempatan baharu pada khamis, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 239 kes sejak 9 Disember lalu.
Pihak berkuasa Xian memaklumkan, semua isi rumah di bandar itu hanya dibenarkan untuk menghantar ahli keluarga mereka setiap dua hari sekali untuk membeli barang keperluan harian.
Penduduk juga hanya dibenarkan menjalani aktiviti di dalam premis dan kediaman masing-masing, dengan pengecualian untuk hal kecemasan serta tidak dibenarkan untuk meninggalkan bandar berkenaan kecuali terdesak.
Mereka yang perlu meninggalkan kediaman perlu mengemukakan bukti bagi mendapatkan kelulusan.
Arahan perintah berkurung itu dikeluarkan sehari selepas bandar itu menjalankan ujian terhadap 13 juta penduduknya.
Sementara itu, Beijing kini dalam persiapan untuk menganjurkan Olimpik Musim Sejuk 2022 pada Februari depan kini meningkatkan kawalan penularan di beberapa bandar utama.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.