Tanah runtuh di Sungai Penchala: Warga emas tertimbus separuh badan

SEORANG warga emas nyaris maut apabila tertimbus separuh badan, dalam kejadian tanah runtuh yang memusnahkan empat rumah Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Wanita berusia dalam lingkungan 70-an itu ditemui pasukan mencari dan penyelamat dalam keadaan tertimbus sehingga ke paras pinggang.

Bomba yang menerima laporan kejadian pada jam 1.22 pagi, menggerakkan 15 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tun Dr Ismail dan BBP Sri Hartamas ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.

Operasi turut disertai lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), 11 anggota polis serta tiga petugas Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Komander Operasi Kanan, Penguasa Kanan Bomba 1 Khairul Azuwan Ibrahim, berkata sebaik pasukan bomba tiba di tempat kejadian mendapati empat kediaman di situ rosak akibat dihempap tanah runtuhan.

“Kita turut menemui seorang wanita warga emas berusia lingkungan 70-an dalam keadaan tubuhnya tertimbus sehingga ke paras pinggang.

“Mangsa berjaya diselamatkan dan mengalami kecederaan di bahagian kaki seterusnya dihantar ke PPUM menggunakan kenderaan EMRS bomba untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Khairul Azuwan, pasukan bomba kemudian memeriksa kawasan sekitar lokasi kejadian dalam memastikan tiada lagi sebarang keberbahayaan dan tempat berkenaan turut ditutup atas faktor keselamatan. – SB