Keputusan Ali Biju langkah terpuji – Muhyiddin

KEPUTUSAN Naib Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak, Datuk Ali Biju menarik diri daripada bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 disambut baik oleh Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, keputusan Ali Biju untuk tidak mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRN Sarawak yang lalu demi menghormati jalinan persahabatan antara Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan satu langkah yang terpuji.

“Bagi saya, pengorbanan yang dilakukan oleh Datuk Ali Biju adalah amat besar ertinya kepada persefahaman yang telah dicapai antara saya dan Datuk Patinggi Abang Johari bin Tun Openg dalam memperkukuhkan jalinan hubungan kerjasama antara BERSATU dan GPS di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden parti Perikatan Nasional (PN) itu menambah, perkara itu termasuk persefahaman bahawa PN yang diwakili Bersatu akan mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Sarawak.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyambut baik sokongan Ali Biju kepada calon-calon GPS yang bertanding di DUN Krian, Kalaka dan Kabong yang kesemuanya berada di dalam kawasan Parlimen Saratok.

Terdahulu pada Khamis, Ali Biju mengambil keputusan untuk menarik diri daripada bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN Krian dalam PRN Sarawak kali ini setelah menginsafi hakikat bahawa perkara itu akan menjejaskan hubungan baik antara Bersatu dan GPS sekiranya diteruskan.

Susulan keputusan itu, kerusi DUN Krian akan menyaksikan persaingan antara tiga calon iaitu calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Musa Dinggat, Danny Kuan yang mewakili Parti Bumi Kenyalang (PBK), serta calon GPS, Friday Belik.–SB