JIKA ada stesen atau pihak penyiar yang menetapkan 1 juta pengikut sebagai asas utama, stesen Awesome TV pula berpendirian sebaliknya apabila tidak akan sesekali mengamalkan diskriminasi.
Perkara terebut ditegaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas baru-baru ini.
Jelasnya, mereka tidak sesekali mengutamakan jumlah pengikut media sosial sebaliknya menjadikan bakat dan penampilan sebagai kriteria utama dalam pemilihan.
“Sebagai contoh, telefilem Pang Pokok Ketapang yang meletakkan Amerul Affendi sebagai teraju utama berjaya meraih jumlah tontonan melebihi satu juta melalui tonton TV.
“Telefilem terbabit turut menerima ciapan tertinggi melalui platform Twitter yang memuji lakonan Amerul yang dilihat cukup menjiwai watak melalui karya ini.
“Awesome TV tidak mengamalkan diskriminasi dalam pemilihan pelakon khususnya kerana kami lebih fokus kepada bakat serta kandungan program dan kami percaya kepada pencungkilan bakat baharu yang sesuai untuk dijadikan pelapis industri,” jelasnya.
Menguatkan lagi hujah terebut, Adam berpendapat personaliti media sosial seperti di Instagram, TikTok, Facebook dan sebagainya tidak semestinya mempunyai kebolehan yang sesuai untuk kandungan televisyen.
“Secara konklusifnya, sesebuah karya perlu ada keseimbangan untuk menjadikannya hebat dan diterima ramai.
“Bakat, strategi pemasaran, jalan cerita serta pengarahan yang baik adalah formula yang tepat untuk berjaya menarik tontonan masyarakat,” katanya.
Terdahulu, beberapa pelakon tempatan secara sinikal mahu membeli pengikut demi untuk ‘menurut’ kemahuan stesen TV yang menetapkan 1 juta pengikut di Instagram untuk mendapatkan ‘job’.
Perkara tersebut mendapat perhatian pelbagai pihak yang kurang senang dengan syarat pelik itu. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.