Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Mahkamah Rayuan benarkan penangguhan pelaksanaan hukuman Najib -

Mahkamah Rayuan benarkan penangguhan pelaksanaan hukuman Najib

MAHKAMAH Rayuan pada Rabu membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil berkata, panel hakim membuat keputusan membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan Najib dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Abdul Karim menambah, syarat penangguhan adalah sama seperti yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi iaitu jaminan RM2 juta dengan dua penjamin, dan juga perlu melapor diri ke balai polis berhampiran dua kali sebulan.

Permohonan dikemukakan oleh Peguam bela bekas Presiden UMNO itu, Farhan Read atas alasan rayuan ke Mahkamah Persekutuan akan menjadi sia-sia jika Mahkamah Rayuan tidak membenarkan penangguhan hukuman.

Sementara itu, peguam bela utama Ahli Parlimen Pekan berkenaan, Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah pula mengutarakan hujah penangguhan pelaksanaan boleh dilakukan bagi hukuman dan sabitan terhadap Najib lebih-lebih lagi kerana perayu adalah seorang penggubal undang-undang.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan menolak rayuan Najib terhadap sabitan dan hukumannya bagi beberapa pertuduhan melibatkan kira-kira RM42 juta dana SRC International.

Panel hakim juga mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang dibuat pada 28 Julai tahun lalu yang mendapati bekas perdana menteri itu bersalah bagi tujuh pertuduhan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Panel tiga hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil berkenaan menyampaikan penghakiman secara sebulat suara.

Abdul Karim bersama hakim Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin turut berkata, tindakan bekas Perdana Menteri itu berhubung dana RM42 juta SRC International bukan sesuatu tindakan demi kepentingan negara, sebaliknya memalukan negara.

Najib, 68, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang menjatuhi hukuman 10 tahun penjara ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga kes pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah membenarkan permohonan Ahli Parlimen Pekan itu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya.

Bagi pertuduhan CBT, Najib sebagai penjawat awam dan ejen, iaitu perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia, serta Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC), didakwa menyeleweng masing-masing RM27 juta dan RM5 juta daripada RM4 bilion kepunyaan SRC.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 24 Dis 2014, dan 29 Dis 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa menyeleweng RM10 juta daripada RM4 bilion kepunyaan SRC, di tempat sama antara 10 Feb 2015, dan 2 Mac 2015.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah membabitkan sejumlah RM42 juta apabila beliau mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan untuk menyediakan jaminan kerajaan bagi pinjaman daripada KWAP kepada SRC International berjumlah RM4 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Precinct 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa menerima masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang, menerusi sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (Rentas) ke dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad kepunyaannya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan AmBank, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 26 Dis 2014, dan 10 Feb 2015.

Najib didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang membawa hukuiman penjara sehingga 15 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai daripada hasil yang diperoleh secara tidak sah atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – SB