Amanah tidak layan sebarang cadangan gabung PKR

AMANAH tidak akan melayan cadangan untuk bergabung dengan PKR, kata Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Menurutnya, perkara itu tidak berbangkit dan tidak pernah dibincangkan dalam Pakatan Harapan (PH).

“Tak perlu. Tak perlu. Tak berbangkit dan tak pernah dibincangkan dalam Pakatan Harapan.

“Perkara ini tidak pernah berbangkit dan tidak timbul isu itu sebenarnya. Itu hanya suara-suara daripada mereka yang bukan pandangan rasmi parti. Bagi Amanah kita tidak anggap perkara itu berbangkit dan kita dah tubuh Amanah dan jadi sebahagian daripada Pakatan Harapan hingga ke hari ini. Kita akan terus (jadi) rakan dalam Pakatan Harapan,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Semalam Presiden PKR, Anwar Ibrahim memberitahu media bahawa cadangan menggabungkan dua parti komponen PH, iaitu PKR dan Amanah sudah dikemukakan, namun masih belum dibincangkan.

Anwar bagaimanapun tidak mendedahkan bila cadangan itu dikemukakan.