SELAIN pengguna, peniaga-peniaga kecil turut terkesan akibat kenaikan harga barang tanpa kawalan pada masa ini.
Seorang peniaga nasi lemak, Zita Zainuddin, 42, berkata, sejak harga barang naik, keuntungan daripada hasil jualan nasi lemak secara kecil-kecilan turut merosot.
“Biasanya kita dapat untung RM50, tiba-tiba dapat RM10 hingga RM20,” katanya kepada SatuBerita.
Menurutnya, kenaikan harga barangan asas menyebabkan kos meningkat, namun dia tidak sampai hati untuk menurunkan beban itu kepada pelanggan yang kebanyakannya orang kampung.
“Rasa terbeban macam kami peniaga-peniaga kecil kan, jadi bila dah dengar kenaikan barang tu rasa agak terbeban lah.
“Kita duduk kampung, meniaga di kampung, kita rasa bersalah untuk naikkan harga sebab kesian dekat orang kampung.
“Biasa harga RM4, tiba-tiba nak naikkan RM5 hingga RM6, rasa terbeban kepada orang yang membeli dan kami yang meniaga ni,” luahnya.

Tambahnya lagi, dia akan mengalami kerugian yang lebih teruk jika menaikkan harga kerana pelanggan berhak memilih mana yang lebih murah.
Oleh demikian, dia terpaksa menjadi seperti ‘lembu dicucuk hidung’ akibat rasa terhimpit kerana serba salah untuk naikkan harga buat pelanggannya.
“Pelanggan nak yang lagi murah, jadi kita sebagai peniaga nak naikkan harga serba salah.
“Saya tak sampai hati nak naikkan harga, tapi nak buat macam mana, terpaksa ikut je lah,” katanya.
Zita turut meluahkan keperitan dan kesusahan perniagaannya untuk bernafas kembali lebih-lebih lagi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi disekat oleh kenaikan harga barangan tersebut.
“Lepas PKP memang terasa dengan kita baru nak naikkan perniagaan.
“Saya sebagai peniaga kecil memang sedih sebab kenaikan harga ini, kita keuntungan tak banyak mana pun, bila dah naik macam ni terasa lah sangat, berbeza dengan harga sebelum ini dan selepas,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.