[VIDEO] Harga barang naik, gaji pun kena naik – Rakyat

KENAIKAN harga barang keperluan termasuk barangan basah sejak kebelakangan ini telah memberi kesan besar kepada pengguna, terutamanya kepada mereka yang terjejas selepas berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Tinjauan daripada SatuBerita di sekitar Jalan Kuching, Kuala Lumpur mendapati majoriti rakyat tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan untuk menaikkan harga barang dan ada juga yang berpendapat bahawa gaji patut dinaikkan seiring dengan kenaikan harga barang.

Menurut Muhammad Aiman, 30, kenaikan harga barang terutamanya keperluan asas haruslah sekali dengan kenaikan gaji.

“Sekarang ini, kalau ikutkan, harga keperluan asas semakin naik tetapi gaji masih sama,

“Bagi golongan marhaen dan sederhana macam kami, ianya agak susah dan memberi kesan kepada keluarga.” katanya ketika ditemui SatuBerita.

Aiman menegaskan, sebelum ini dia boleh berbelanja sebanyak RM50 seminggu untuk barangan basah, tetapi sekarang tidak mampu memandangkan harga sudah meningkat.

Kenyataan itu turut disokong penguna yang hanya dikenali sebagai Rizal, 42, yang berpendapat kenaikan harga barangan basah ini tidak sepatutnya terjadi terutamanya selepas pandemik Covid-19 dan masih ramai yang sedang bersusah payah untuk hidup.

“Dalam suasana selepas PKP ini, ramai yang terjejas terutamanya dengan kenaikan harga barang ini. Ia juga menambah beban kepada rakyat terutamanya yang berpendapatan sederhana.

“Bagi saya, isu ini memberi kesan kepada saya dan keluarga kerana kenaikan harga barang ini terutamanya adalah barangan harian jadi saya terpaksa juga beli. Sebagai pengguna saya rasa terbeban dengan isu ini.” katanya.

Rizal turut mendesak supaya kerajaan segera campur tangan dengan menggunakan kuasa yang ada untuk mengawal harga barang demi membantu rakyat. 

Sementara itu, Ruzana Abd Kadir, 40, pula meluahkan rasa sedih dan geram dengan keputusan kerajaan berhubung isu kenaikan harga barangan basah atau barang keperluan harian. 

“Kalau dulu, harga untuk sekali pembelian barangan basah mungkin mencecah RM200 tetapi sekarang berbeza kerana boleh mencecah sehingga RM400.

“Isu kenaikan harga barang ini juga memberi kesan yang besar kepada saya dan anak-anak yang masih bersekolah.” ujarnya.

Ruzana yang juga seorang penjawat awam menegaskan, kenaikan gaji tahunan tahun tidaklah begitu tinggi, dan dalam keadaan sekarang, ia langsung tidak bersesuaian dengan kenaikan harga barang ini. 

“Saya pun dah buat tinjauan di kedai sekitar kawasan ini, saya dapati juga harga barangan memang semua naik. Terkejut juga saya melihatnya.” katanya. 

Ruzana turut berharap pihak kerajaan dapat memahami masalah yang dihadapi rakyat sekarang kerana tidak semua orang berkemampuan dan berpendapatan tinggi. – SB