40,000 daftar Program Wanita Bangkit Berniaga

PROGRAM kolaborasi strategik Wanita Bangkit Berniaga (WBB) anjuran RichWorks dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berjaya mendapat hampir 40,000 penyertaan berbanding 2,000 sasaran awal terutama golongan wanita di negara.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, program di bawah inisiatif Wanita Bangkit itu digerakkan bagi membantu khususnya wanita yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 bagi menjana pendapatan dengan berniaga.

Katanya, pihak Kementerian memilih RichWorks sebagai rakan kolaborasi strategik berikutan rekod prestasi dalam melahirkan ramai usahawan jutawan sejak 2008 hingga kini.

“Kami percaya dengan kepakaran RichWorks melatih dan memastikan peserta yang ada kesungguhan tinggi akan dapat mengubah kehidupan mereka.

“Bagaimanapun, tiada apa yang dapat membantu mereka meskipun ada guru yang hebat jika tiada tindakan diambil oleh mereka sendiri selepas tamat progam ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Rina berharap, 90 peratus golongan wanita daripada 40,000 yang telah mendaftar dapat mengubah hidup dengan menjana pendapatan yang baik.

“Perkongsian daripada lebih 30 usahawan jutawan dalam program ini pasti memberikan inspirasi kepada para peserta kerana sebelum berjaya mereka juga merupakan suri rumah yang berdepan masalah hutang, kewangan yang terhad, ibu tunggal dan lain-lain,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd. memberitahu, pihaknya sangat berbesar hati kerana dipilih menjadi rakan kolaborasi kementerian untuk memperkasakan lebih ramai wanita dalam bidang keusahawanan.

“Kami merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Rina dan pasukannya yang sangat komited memastikan program ini berjaya untuk manfaat peserta WBB.

“Perjuangan RichWorks sejak 2008 tidak berhenti dalam mendidik, memberikan inspirasi, ilmu perniagaan dan nilai tambah kepada orang ramai dalam keusahawanan,” ujarnya.

Radz memberitahu, RichWorks sentiasa akan ke hadapan, mengikut keperluan, tabiat dan kemajuan teknologi dalam melatih lebih ramai bangsa usahawan.