Urus pandemik dahulu, PRU-15 bukan keutamaan – Mahdzir

0
23

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak perlu diadakan secara tergesa-gesa, sebaliknya kerajaan perlu mengutamakan pengurusan pandemik COVID-19 serta memulihkan ekonomi rakyat dan negara terlebih dahulu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Mahdzir Khalid berkata, walaupun momentum Barisan Nasional (BN) kini memuncak berikutan kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu, gabungan itu perlu berbincang terlebih dahulu demi kepentingan rakyat.

“Apabila kita sudah mendapat satu pandangan yang tepat dan kita rasa pada waktu itu perlu untuk mengadakan PRU-15, kita buatlah dan saya rasa kita masih ada waktu untuk berbincang,” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today, hari ini.

Kelmarin, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan membayangkan BN bersedia untuk menghadapi PRU-15 dalam masa terdekat.

Mahdzir menambah, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob perlu mengutamakan rakyat yang akan keluar mengundi pada PRU-15.

“Yang pertama, kita perlu mengambil kira masyarakat di luar sana, bukan parti, sebab mereka yang akan keluar mengundi. Mereka melihat kerajaan ini serius untuk melandaikan lagi kes COVID-19…rakyat hendak tengok kes menurun, jadi biarlah nampak (kes menurun).

“Keduanya, pemulihan ekonomi perlu dilakukan segera kerana pengusaha kecil, pengilang, pekerja dan golongan profesional yang terjejas dengan pandemik mahu memulakan kehidupan,” jelasnya,

Beliau memberitahu, waktu yang sesuai untuk mengadakan PRU-15 adalah selepas pandemik COVID-19 reda dan ekonomi semakin pulih.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here