Sotong goreng RM100, Restoran Hameediyah diberi notis

0
424

RESTORAN nasi kandar popular Hameediyah di Georgetown, Pulau Pinang yang tular di dalam media sosial kerana menjual dua sotong goreng pada harga RM100 dikenakan notis oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Cawangan Timur Laut.

Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kepada pengusaha restoran itu dikeluarkan selepas tiga pegawai penguat kuasa PPDNHEP Cawangan Timur Laut melakukan pemeriksaan di restoran berkenaan hari ini.

Menurut Pengarah PPDNHEP Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar, notis itu dikeluarkan bagi membolehkan pihaknya mendapatkan maklumat serta harga kos dan jualan bagi sotong goreng berkenaan.

Ujar beliau, pengusaha restoran itu dikehendaki memberikan maklum balas dalam tempoh dua hari bekerja atau sehingga 26 November ini kepada pejabat Cawangan Timur Laut.

“Sekiranya gagal berbuat demikian, pengusaha boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Ridzuan berkata, pihaknya sentiasa memandang serius sebarang isu kenaikan harga atau melibatkan unsur pencatutan yang berkemungkinan dilakukan oleh peniaga-peniaga.

“Sekiranya berlakunya sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah, pengguna disarankan membuat laporan rasmi kepada
pihak kementerian,” katanya.

Terdahulu awal hari ini, gambar resit dan lauk sotong goreng berharga RM100 yang dijual di restoran Hameediyah itu ditularkan di dalam media sosial dipercayai oleh pelanggan yang turut meminta orang ramai berhati-hati sekiranya mahu makan di Pulau Pinang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here