[VIDEO] Treler bawa bot tersangkut pada papan tanda

BARU-baru ini tular satu video yang memaparkan sebuah treler yang membawa muatan bot telah tersangkut pada papan tanda di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Seberang Jaya sehingga mengakibatkan aliran trafik sesak ke utara baru-baru ini.

Menerusi video berdurasi 16 saat yang dikongsi oleh @Yatboyka Yatmaz di laman TikTok, dapat dilihat beberapa pasukan teknikal sedang membantu membuka bahagian atas bot tersebut bagi melepasi tahap ketinggian papan tanda.

Menurut pemilik video tersebut, kejadian itu berlaku kerana pihak atasan tidak mahu mendengar nasihat daripada pemandu lori tersebut yang menyatakan muatan tersebut tidak lepas untuk lalu di kawasan itu.

“Kita bukan saja-saja taknak ikut depa, kita rasa kita tak boleh kita harus bersuara. Bila suara tak laku gini la jadinya.” tulis pemilik video di ruangan komen.

Bagaimanapun, pemilik video tersebut menyatakan bahawa treler yang membawa muatan bot tersebut berjaya dilepaskan selepas 30 minit tersangkut di kawasan tersebut. 

“Ya ya lepas juga alhamdulillah syukur 30 minit je sangkut situ yang selebihnya tak tahu saya” kata pemilik video tersebut di ruangan komen. – SB